Trump makin hilang sabar dengan Iran

Trump makin hilang sabar dengan Iran

TRUMP mengarahkan tentera AS menembak bot Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata kesabarannya terhadap Iran semakin menipis dan mendakwa Presiden China, Xi Jinping bersetuju Tehran perlu membuka semula Selat Hormuz.

Bagaimanapun, China tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa ia akan campur tangan dalam isu berkenaan.

Ketika dalam penerbangan pulang dari Beijing semalam selepas dua hari mengadakan rundingan dengan Jinping, Trump berkata beliau sedang mempertimbangkan sama ada untuk menarik balik sekatan AS terhadap syarikat minyak China yang membeli minyak Iran.

China adalah pembeli terbesar minyak Iran.

Kenyataan beliau tidak menjelaskan sama ada Beijing akan menggunakan pengaruhnya terhadap Teheran untuk menamatkan konflik yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku.

“Saya tidak meminta apa-apa bantuan kerana apabila anda meminta bantuan, anda perlu membalas bantuan itu,” kata Trump ketika ditanya oleh wartawan dalam pesawatnya sama ada Jinping memberi komitmen tegas untuk menekan Iran supaya membuka semula selat tersebut, laluan penting bagi penghantaran minyak.

Jinping tidak mengulas mengenai perbincangannya dengan Trump berkaitan Iran, namun Kementerian Luar China mengeluarkan kenyataan tegas yang menyatakan rasa tidak puas hati Beijing terhadap perang Iran.

“Konflik ini, yang tidak sepatutnya berlaku, tidak mempunyai alasan untuk diteruskan,” kata kementerian itu.

Iran secara efektif menutup selat tersebut kepada kebanyakan kapal sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Februari, sekali gus menyebabkan gangguan tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap bekalan tenaga global.

AS menghentikan sementara serangan ke atas Iran pada April tetapi memulakan sekatan pelabuhan. Teheran pula berkata ia tidak akan membuka semula selat itu selagi AS tidak menamatkan sekatannya.

Trump mengugut untuk menyerang Iran sekali lagi sekiranya negara itu tidak bersetuju dengan satu perjanjian.

“Kami tidak mahu mereka memiliki senjata nuklear, kami mahu selat itu dibuka,” kata Trump ketika berada di Beijing sambil duduk bersama Jinping.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, Teheran menerima mesej daripada AS yang menunjukkan Washington bersedia untuk meneruskan rundingan.

“Kami berharap, dengan kemajuan rundingan, kami akan mencapai satu keputusan yang baik supaya Selat Hormuz dapat dijamin sepenuhnya dan kami dapat mempercepatkan normalisasi trafik melalui selat itu,” katanya kepada pemberita di New Delhi.

Iran, yang selama ini menafikan ia berhasrat membina senjata nuklear, enggan menghentikan penyelidikan nuklear atau menyerahkan simpanan uranium diperkaya yang disembunyikan, sekali gus menimbulkan kekecewaan kepada Trump.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN