28 warga Rohingya termasuk bayi setahun ditahan bersembunyi di inap desa

28 warga Rohingya termasuk bayi setahun ditahan bersembunyi di inap desa

ANTARA warga Rohingya yang ditahan menerusi Ops Pintas (TIP) Pemerdagangan Manusia di sebuah inap desa sekitar Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seramai 28 warga Rohingya termasuk seorang bayi berusia setahun ditahan menerusi Ops Pintas (TIP) Pemerdagangan Manusia yang dilaksanakan di sebuah inap desa sekitar Jalan Padang Nyu, di sini semalam.

Operasi antara pukul 12.30 tengah malam sehingga 2 pagi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau bersama Task Force IPD Arau terdiri daripada tiga pegawai serta 21 anggota.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, penahanan itu terdiri daripada 10 lelaki dewasa (umur 28-44 tahun), 10 wanita (umur 19-38 tahun), empat kanak-kanak lelaki (umur 2-16 tahun) dan empat kanak-kanak perempuan (umur 1-12 tahun).

Katanya, pemeriksaan dokumen pengenalan diri turut dilakukan dan didapati hanya 15 penama mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Selebihnya didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI). Semua yang ditahan telah dibawa ke IPD Arau dan penama mempunyai kad UNHCR telah dibebaskan manakala selebihnya ditahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, hasil temu bual awal mendapati mereka telah menaiki bot dari Myanmar dan berlabuh di Thailand, seterusnya berjalan kaki masuk ke Malaysia melalui laluan tidak sah.

Katanya, individu yang tidak mempunyai dokumen lengkap juga telah direman selama 14 hari, bermula hari ini.

“Kita juga akan panggil pemilik inap desa bagi menjalankan soal siasat lanjut sebab berdasarkan maklumat awal, pemilik dikatakan sewakan rumah itu kepada suami-suami yang mempunyai kad UNHCR dan tidak mengetahui isteri-isteri mereka adalah PATI.

“Semua individu terlibat juga didapati tiada perancangan untuk ke destinasi seterusnya dan hanya mencari perlindungan serta tempat tinggal yang selamat dari pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN