Mahkamah Israel tolak rayuan penahanan aktivis flotila Gaza

Mahkamah Israel tolak rayuan penahanan aktivis flotila Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEERSHEVA: Mahkamah Israel menolak rayuan yang mempertikaikan penahanan dua aktivis asing yang diculik oleh pasukan Israel dari flotila yang menuju ke Gaza, dengan kumpulan hak asasi manusia yang mewakili mereka mengecam keputusan itu sebagai ‘tidak sah’.

Warganegara Sepanyol berketurunan Palestin, Saif Abu Keshek dan aktivis Brazil, Thiago Avila adalah antara puluhan aktivis di atas flotila yang dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece pada Khamis lalu.

Kedua-duanya ditahan oleh tentera Israel dan dibawa ke Israel untuk disoal siasat, manakala aktivis lain dipindahkan ke pulau Crete dan dibebaskan.

Pada Selasa, mahkamah Israel melanjutkan tempoh tahanan mereka sehingga Ahad bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Peguam mereka kemudian memfailkan rayuan di mahkamah daerah Beersheva, namun ia ditolak.

“Hari ini, mahkamah daerah Beersheva menolak rayuan kami dan pada dasarnya menerima semua hujah negara atau polis di hadapan mahkamah dan mengekalkan keputusan terdahulu,” kata Peguam, Hadeel Abu Salih.

Kedua-dua aktivis yang sedang melakukan mogok lapar itu hadir di mahkamah dengan kaki bergari, menurut seorang wartawan AFP.

Saif kelihatan keletihan, manakala Avila kelihatan tenang.

Hadeel berkata, anak guamnya ditahan secara ‘tidak sah’ di perairan antarabangsa, di mana mereka diculik oleh tentera laut Israel tanpa sebarang kuasa undang-undang.

Beliau turut menuduh mahkamah memberi kebebasan kepada tentera Israel untuk melakukannya berulang kali.

Kumpulan hak asasi Israel Adalah yang mewakili mereka menyifatkan keputusan mahkamah sebagai ‘tidak sah dan tidak munasabah’.

Menurut kumpulan itu, aktivis berkenaan ditahan daripada kapal berbendera Itali, sekali gus meletakkan mereka di bawah bidang kuasa Itali.

Badan itu juga mendakwa kedua-dua lelaki itu mengalami layanan buruk dalam tahanan, termasuk Avila yang ditempatkan di sel sejuk.

Peguam berkata, Saif berhenti mengambil air dan makanan, dan kedua-duanya disoal siasat hampir sepanjang hari mengenai flotila tersebut.

Pihak berkuasa Israel menafikan dakwaan penderaan, namun tidak mengenakan sebarang pertuduhan terhadap mereka setakat ini.

Adalah berkata, pihak berkuasa menuduh kedua-duanya membantu musuh semasa perang dan menyertai serta memberi perkhidmatan kepada organisasi pengganas.

Israel mendakwa mereka dikaitkan dengan Popular Conference for Palestinians Abroad (PCPA), yang dituduh Washington bertindak secara sulit bagi pihak kumpulan bersenjata Palestin Hamas.

Spain, Brazil dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa mereka dibebaskan segera.

“Bukan satu jenayah untuk menunjukkan solidariti dan cuba membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza yang semakin terdesak dan amat memerlukannya,” kata jurucakap hak asasi PBB, Thameen Al-Kheetan.

Flotila itu berlepas dari Perancis, Sepanyol dan Itali dengan tujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dilanda perang itu.

Israel mengawal semua pintu masuk ke Gaza, yang telah berada di bawah sekatan sejak 2007.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN