Robocop ambil alih peranan polis trafik China

Robocop ambil alih peranan polis trafik China

ORANG ramai berbasikal melepasi pegawai polis robot humanoid di Hangzhou di wilayah Zhejiang, China.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Polis robot atau ‘robocop’  dikerah di sekitar jalan raya dari Hangzhou hingga ke Shenzhen dan Xinjiang sepanjang lima hari cuti umum sempena Hari Pekerja di negara itu baru-baru ini. 

Kehadirannya bertujuan mengawal aliran trafik serta mengesan pelanggaran peraturan di kawasan tumpuan ketika jutaan penduduk sedang melakukan perjalanan rentas negara.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada dorongan nasional China untuk memperluaskan penggunaan robotik canggih dalam segenap aspek kehidupan awam, sekali gus menonjolkan kepesatan industri robotik humanoid di negara tersebut.

Di pusat teknologi selatan Hangzhou, satu skuadron yang terdiri daripada 15 robot trafik humanoid beroda ditempatkan di persimpangan jalan utama termasuk di sekitar kawasan tumpuan pelancong, Tasik Barat sejak 1 Mei lalu.

Berpakaian warna kuning terang, robot-robot ini dirakam mengeluarkan amaran lisan kepada penunggang basikal dan skuter elektrik yang dikesan melanggar garisan berhenti. 

Orang awam dan pelancong yang ingin tahu juga berpeluang berinteraksi dengan robot berkuasa kecerdasan buatan (AI) ini melalui suara atau skrin sentuh untuk bertanya arah jalan, membuat pertanyaan mahupun membuat laporan polis.

Walaupun penggunaan robot trafik bukanlah perkara baharu di China, kumpulan terbaharu di Hangzhou ini dikatakan sebagai skuadron polis trafik robot pertama yang ditubuhkan di negara itu.

Menurut laporan Hangzhou Daily, dalam tempoh tiga hari sahaja, robot-robot ini mengeluarkan sebanyak 11,897 amaran bagi pelbagai kesalahan trafik yang menyamai purata satu amaran bagi setiap satu minit 43 saat.

Pegawai polis, Chen Sanchuan memaklumkan peringatan lisan daripada robot adalah lebih objektif dan terus menjadikan orang ramai lebih mudah untuk menerimanya. Beliau turut menyifatkan keberkesanan tugas robot tersebut adalah lebih baik berbanding pegawai manusia.

Pihak Polis Trafik Hangzhou menjelaskan robot berkenaan diselaraskan dengan sistem lampu isyarat, membolehkan mereka mengeluarkan arahan yang jelas kepada pemandu dan pejalan kaki sama ada untuk berhenti, membelok, atau meneruskan perjalanan.

Mampu beroperasi secara berterusan selama lapan hingga sembilan jam sehari, mesin humanoid ini dianggap sebagai pemangkin produktiviti oleh pihak berkuasa tempatan. 

Penggunaannya dapat meringankan beban anggota polis sedia ada untuk memberikan tumpuan kepada tugas yang lebih kompleks terutamanya ketika waktu puncak aliran trafik yang tinggi.

Seorang pegawai Biro Keselamatan Awam Hangzhou memberitahu penyiar rasmi CCTV pihaknya merancang untuk mengintegrasikan robot-robot ini ke dalam jadual tugas rutin selepas tempoh cuti umum tamat.

Selain Hangzhou, bandar-bandar lain seperti Kashgar di wilayah autonomi Xinjiang dan Ordos di Mongolia turut dilaporkan mula mengerahkan pengawal trafik robotik mereka sendiri sejak 1 Mei lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN