Nikmati tulip mekar di Cameron Highlands

Nikmati tulip mekar di Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak perlu terbang jauh ke Eropah untuk menyaksikan keindahan bunga tulip.

Di tanah tinggi Malaysia ini, pengalaman melihat sendiri bunga ikonik dari negara empat musim kini boleh dinikmati walaupun hanya setahun sekali.

Berlatarkan udara dingin dan panorama kehijauan yang menenangkan, kawasan agro pelancongan di Cameron Highlands muncul lokasi unik yang menampilkan bunga tulip sebagai tarikan istimewa.

Walaupun Malaysia tidak mengalami musim bunga seperti di Belanda atau Turki, usaha ini membuktikan keterbatasan iklim bukan penghalang, sebaliknya pemangkin kepada inovasi pertanian.

Lokasi utama untuk menyaksikan keunikan ini adalah di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands, sebuah pusat penyelidikan serta agro pelancongan yang menjadi tumpuan pengunjung bagi melihat sendiri pelbagai inovasi pertanian, termasuk penanaman bunga tulip yang hanya bermusim.

Namun di sebalik keindahan yang memukau mata, proses penanaman bunga ini bukanlah mudah.

Tulip memerlukan suhu sejuk konsisten serta tempoh rehat khas sebelum mula berbunga.

Di Cameron Highlands, keadaan tersebut perlu dicipta secara terkawal, menjadikan setiap kuntuman yang mekar sebagai hasil gabungan penyelidikan, teknologi moden dan kesabaran yang tinggi dalam usaha menyesuaikan tanaman ini dengan iklim tempatan.

Menariknya, bunga tulip di sini hanya mekar sekitar 10 hingga 14 hari sahaja.

Tempoh yang sangat singkat ini menjadikan setiap kunjungan terasa lebih eksklusif dan bernilai.

Pengunjung yang hadir pada waktu tepat pastinya tidak melepaskan peluang merakam kenangan dengan latar bunga berwarna-warni, daripada gabungan warna oren dan kuning, kuning terang, ungu hingga merah jambu mempesona.

Lebih istimewa, setiap musim menyaksikan peningkatan jumlah tanaman.

Bermula dengan hanya beberapa ratus pokok, kini ribuan tulip telah ditanam di kawasan ini.

Namun, tidak semuanya berjaya berkembang dengan sempurna kerana dipengaruhi oleh faktor cuaca tidak menentu serta tahap kesesuaian persekitaran yang berbeza.

Uniknya, bunga tulip di sini juga mempunyai ritma tersendiri.

Berbeza dengan di luar negara, bunga ini biasanya akan mula mengembang apabila suhu menjadi panas.

Namun pada waktu pagi sekitar pukul 8 hingga 10, kelopaknya cenderung tertutup dan akan kembali menguncup semula sekitar pukul 4 hingga 5 petang seolah-olah ‘berehat’ mengikut perubahan suhu harian.

Selain tulip, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai tarikan lain seperti taman bunga berkonsep Inggeris, tanaman sayuran segar dan pelbagai aktiviti agro pelancongan yang bersifat pendidikan dan interaktif.

Suasana santai, udara nyaman dan pemandangan indah menjadikan lokasi ini pilihan ideal untuk seisi keluarga, khususnya bagi mereka yang ingin healing seketika daripada kesibukan kota.

Bagi yang merancang kunjungan, bulan April dianggap waktu terbaik untuk menyaksikan tulip berkembang mekar dengan sempurna.

Namun, seperti alam semula jadi yang sukar dijangka, setiap tahun tetap menawarkan pengalaman yang berbeza dan tersendiri.

Bagi pengunjung pula, ia menjadi peluang untuk menikmati sebahagian keajaiban dunia tanpa perlu melangkah jauh ke luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN