Khairul Anwar pulihara khazanah tekstil tradisi

Khairul Anwar pulihara khazanah tekstil tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ilmu yang tersirat di sebalik jalinan benang tekstil tradisional Melayu menjadi tumpuan utama Khairul Anwar Rahmat, yang melihat setiap helaian kain koleksinya sebagai naskhah sejarah yang perlu dibaca dan difahami secara mendalam.

Minat mendalam yang berputik sejak 15 tahun lalu ini sebenarnya berakar umbi daripada rasa ingin tahunya terhadap sains di sebalik pembuatan kain, termasuklah penelitian terhadap elemen kimia pewarnaan, sejarah jalur perdagangan purba, serta simbolik hubungan diplomatik yang dizahirkan melalui jalinan benang.

Dia yang merupakan penyelidik seni dan budaya Melayu percaya melalui aktiviti pengumpulan tekstil ini, masyarakat dapat mempelajari sains kebijaksanaan yang pernah dipraktikkan secara semula jadi oleh nenek moyang dalam menghasilkan karya seni bermutu tinggi.

 

Arkib sejarah dalam tenunan
Sehingga kini, Khairul Anwar memiliki kira-kira 1,280 tekstil dalam koleksi peribadinya yang merangkumi songket, punca potong dan karat keruping yang jarang ditemui di pasaran.

Koleksi yang mempunyai nilai estetika serta sejarah yang tidak ternilai ini merupakan bukti nyata masyarakat dahulu telah mencapai tahap tinggi dalam penghasilan objek seni, walaupun mereka tidak melalui proses pembelajaran formal seperti hari ini.

Dia melihat setiap motif dan ragi yang terhasil sebagai satu bentuk komunikasi visual yang menceritakan tentang taraf sosial, identiti wilayah dan kehalusan budi pekerti masyarakat Melayu pada era tersebut.

 

Keunikan ragi
Dalam satu pameran khas yang dianjurkan baru-baru ini, dia memilih untuk menonjolkan kira-kira 40 tekstil miliknya yang mengangkat konsep ragi.

Pemilihan tema ini bertujuan memberi kefahaman kepada pengunjung tentang bagaimana susunan benang dan kombinasi warna mampu membentuk identiti visual yang sangat kuat pada sehelai kain.

Katanya, setiap kain yang dipilih untuk dipamerkan mempunyai daya tarikan tersendiri, terutama dari segi penggunaan warna alam yang membuktikan ketelitian luar biasa masyarakat Melayu lama dalam memanfaatkan sumber bumi.

“Generasi terdahulu tidak melalui proses pembelajaran moden seperti hari ini, namun mereka sangat memahami bagaimana mahu menghasilkan sesuatu yang cukup indah untuk diwarisi,” katanya selepas pameran Ragi : Irama Visual dalam Tenunan Melayu baru-baru ini.

Cabaran penjagaan
Khairul Anwar berkata, tekstil lama memerlukan penjagaan rapi terutama bagi sutera asli yang disifatkan sangat sensitif.

Ancaman utama ialah serangga perosak yang boleh merosakkan struktur kain jika tidak dipantau secara berkala mengikut prosedur penyimpanan betul.

“Sutera mengandungi protein yang boleh menarik minat serangga, jadi saya perlu sentiasa peka bagi memastikan ia tidak rosak,”katanya.

Selain itu, kawalan kelembapan dan pencahayaan juga penting bagi memastikan warna-warna asli daripada pewarna alam pada tekstil tersebut tidak pudar atau mereput akibat reaksi kimia.

 

Bukan untuk dijual
Meskipun koleksinya kini menjadi antara khazanah yang sukar dicari memandangkan kebanyakan barangan serupa telah disimpan oleh muzium-muzium besar, Khairul Anwar tetap dengan pendiriannya untuk tidak menjual koleksi tersebut.

Dia mahu menjadikan koleksinya itu sebagai satu platform pendidikan yang mudah diakses oleh para pelajar dan orang awam tanpa perlu melalui proses birokrasi yang panjang dan rumit.

Katanya, akses yang terhad kepada bahan sejarah di institusi formal kadangkala membantutkan minat generasi muda untuk mendalami warisan tekstil negara.

“Sangat sukar untuk mengakses kain-kain lama di muzium kerana prosesnya memakan masa, tetapi jika ia sebahagian daripada koleksi saya, pelajar dan orang awam diberikan akses terbuka untuk melihatnya dengan lebih dekat,” jelasnya.

 

Penerus legasi budaya
Khairul Anwar sering membawa helaian tekstil miliknya ke sesi perkongsian ilmu, seminar, mahupun fotografi bagi memastikan maklumat mengenai keindahan serta teknik pembuatan tekstil Melayu ini dapat disebarkan secara lebih praktikal.

Baginya, kepuasan sebenar bukanlah terletak pada hak milik semata-mata, tetapi sejauh mana ilmu di sebalik tekstil itu dapat dimanfaatkan oleh penyelidik dan peminat seni budaya.

Matlamat utamanya adalah untuk terus mengumpul objek budaya Melayu yang mempunyai naratif, nilai material dan signifikan yang kuat terhadap identiti bangsa agar tidak hilang ditelan arus kemodenan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN