Wanita menyamar 'pegawai polis' ditahan, bantu kes 'scam' pesara guru - Utusan Malaysia

Wanita menyamar ‘pegawai polis’ ditahan, bantu kes ‘scam’ pesara guru

MOHD. YUSOFF MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penipuan menyamar sebagai pegawai pasukan itu yang menyebabkan seorang pesara guru berusia 75 tahun kerugian RM15,000 di Bachok baru-baru ini.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan di bandar ini pada 13 September lalu hasil risikan dan maklumat yang diterima polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dalam kejadian pada 12 September lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Katanya, pegawai polis palsu itu kemudian memaklumkan mangsa mempunyai saman mahkamah berjumlah RM25,000 dan didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram serta sindiket dadah yang boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian diarahkan merahsiakan perkara itu sebelum diminta menyerahkan dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta rantai leher bersama loket milik isterinya dengan alasan pegawai penyiasat akan datang ke rumah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, sekitar pukul 5 petang, seorang wanita menaiki sebuah kereta telah datang ke rumah mangsa dan menerima barangan tersebut sebelum beredar.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, suspek menerima arahan melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali untuk mengambil barangan mangsa.

“Mangsa sempat menghubungi pihak bank untuk menyekat kad ATM dan tiada transaksi dikesan.

“Rantai emas berkenaan kemudian dijual di sebuah kedai emas di Kota Bharu pada hari sama, manakala sebahagian wang hasil jualan dimasukkan ke akaun pihak ketiga,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, bagaimanapun rantai emas berkenaan berjaya diperoleh semula daripada kedai emas terbabit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×