PUTRAJAYA: Sebahagian pemegang ‘fleet card’ Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) berdepan masalah kuota subsidi bahan api apabila ia gagal dikreditkan bermula 1 Mei lalu susulan isu teknikal.
Isu teknikal itu membabitkan integrasi sistem MySikap dan MySubsidi menyebabkan pemegang ‘fleet card’ yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), pendaftaran kenderaan baharu dan tukar milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April tidak menerima kuota subsidi bahan api.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, susulan itu, pihaknya melaksanakan tindakan pembetulan dan semakan bersama pihak berkaitan bagi memastikan pengemaskinian data serta penjanaan semula kuota dilaksanakan dengan segera.
“Bagi mempercepatkan proses semakan dan pengemaskinian, pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan dimohon untuk mengemukakan maklumat melalui pautan https://forms.gle/hQy1ZQZ2NZoBFJgeA.
“Maklumat berikut jalah seperti nama syarikat, nombor pendaftaran SSM, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh memperbaharui cukai jalan serta pendaftaran kenderaan baharu atau tukar milik,” katanya hari ini.
Maklumat terbabit hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 8 Mei sebelum pukul 5 petang.
KPDN berkata, pihaknya menjangkakan kuota bagi pemegang fleet card SKDS dan SKPS terkesan dapat dijana semula dalam tempoh 9 hingga 11 Mei.
“Maklumat lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“KPDN amat menghargai kerjasama semua pihak dan komited untuk memastikan proses penyaluran subsidi kepada golongan serta sektor yang layak dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya.
Terdahulu, KPDN telah mengenal pasti terdapat isu teknikal berhubung integrasi antara sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN pada bulan April 2026. – UTUSAN










