BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) membantah sebarang perubahan terhadap kawalan wilayah di Semenanjung Gaza, susulan pengenalan jajahan baharu Israel dikenali sebagai ‘garisan oren’.
Perkara itu ditegaskan jurucakap EU, Anouar El Anouni mengenai langkah baharu yang dilaporkan meluaskan lagi kawalan Israel di Gaza kepada lebih 60 peratus, berbanding pelaksanaan pengunduran lanjut yang ditetapkan dalam perjanjian damai.
Menurut beliau, EU terus menekankan kepentingan untuk menyatukan Gaza dengan Tebing Barat di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Katanya, blok itu turut memperbaharui gesaan agar pelan damai Gaza dilaksanakan segera, sambil menyatakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di wilayah tersebut.
Beliau juga menggesa Israel supaya membenarkan akses bantuan kemanusiaan segera, besar-besaran dan tanpa halangan ke Gaza, serta memastikan pengagihannya secara berterusan.
Baru-baru ini, tentera Israel memperkenalkan garisan oren yang melangkaui garisan kuning yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.
Di bawah perjanjian itu, garisan kuning memisahkan kawasan yang berada di bawah kawalan tentera Israel di timur daripada zon yang dibenarkan untuk kehadiran rakyat Palestin di barat, meliputi kira-kira 53 peratus wilayah tersebut.
Namun, Israel didakwa tidak mematuhi pengaturan ini, dengan beransur-ansur mara melepasi garisan kuning ke kawasan lebih dalam di Gaza, yang kini dirujuk sebagai garisan oren tersebut.-AGENSI










