WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyifatkan draf resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut Iran menghentikan serangan dan pemasangan periuk api di Selat Hormuz sebagai ujian terhadap fungsi badan dunia tersebut.
Beliau turut menggesa China dan Russia agar tidak mengulangi tindakan menggunakan kuasa veto mereka terhadap draf yang dicadangkan oleh AS bersama sekutu Arab itu.
Menurut Reuters, ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memulakan rundingan tertutup pada Selasa mengenai teks yang digubal oleh AS bersama Bahrain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar.
Sekiranya diluluskan, resolusi itu boleh membawa kepada sekatan terhadap Iran dan berpotensi membenarkan penggunaan kekerasan jika Teheran gagal menghentikan ancaman terhadap perkapalan komersial.
“Saya rasa ia adalah ujian sebenar kepada PBB, sebagai suatu badan yang berfungsi,” kata Rubio.
Draf resolusi tersebut yang dilihat oleh Reuters, mengutuk dakwaan pelanggaran gencatan senjata oleh Iran serta tindakan dan ancaman berterusan yang bertujuan untuk menutup, menghalang dan mengenakan tol terhadap kebebasan navigasi melalui selat berkenaan.
Resolusi itu menuntut Iran menghentikan serangan dengan serta-merta, mendedahkan lokasi periuk api dan tidak menghalang operasi pembersihan.
“Apa yang kami minta mereka lakukan hanyalah untuk mengutuknya, menyeru Iran supaya berhenti meletupkan kapal, membuang periuk api ini dan membenarkan bantuan kemanusiaan melaluinya,” katanya.
Beliau turut berharap China dan Russia membenarkan resolusi itu diluluskan bagi memberikan tekanan kepada Iran.
“Bagi kedua-dua pihak China dan Russia, saya berhujah, pentingnya resolusi tersebut diluluskan dan tekanan dikenakan ke atas Iran adalah demi kepentingan bersama kedua-dua negara itu juga.
“Ini kerana menjadi kepentingan mereka untuk tidak melihat laluan perairan antarabangsa, khususnya Selat Hormuz ditutup dan menyebabkan kekacauan ekonomi kepada puluhan negara di seluruh dunia,” katanya.
Draf tersebut turut menggesa Teheran supaya bekerjasama dengan usaha PBB bagi mewujudkan koridor kemanusiaan melalui selat berkenaan, memetik gangguan terhadap penghantaran bantuan, bekalan baja serta barangan keperluan asas yang lain.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres diminta melaporkan kembali dalam tempoh 30 hari mengenai pematuhan tersebut, manakala UNSC akan bersidang semula untuk mempertimbangkan langkah tambahan, termasuk kemungkinan mengenakan sekatan sekiranya Iran gagal melaksanakan resolusi berkenaan.
Diplomat berkata, Washington berharap dapat menutup rundingan segera, dengan sasaran untuk mengedarkan draf akhir menjelang Jumaat dan mengadakan undian pada awal minggu depan, walaupun Russia dan China masih mempunyai teks saingan yang sedang dipertimbangkan.
Satu resolusi yang dikemukakan Bahrain bulan lalu bagi membuka jalan untuk mengesahkan tindakan ketenteraan AS terhadap Iran gagal selepas Russia dan China menggunakan kuasa veto mereka dalam UNSC yang terdiri daripada 15 anggota.










