WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan penghentian sementara operasi untuk membantu mengiringi kapal melalui Selat Hormuz, dengan alasan terdapat ‘kemajuan besar’ ke arah perjanjian menyeluruh dengan Iran.
Beberapa jam sebelum itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menggariskan usaha yang bermula pada Isnin bagi mengiringi kapal tangki terkandas keluar dari Teluk.
Selat berkenaan hampir lumpuh sejak konflik bermula, sekali gus menjejaskan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia dan mencetuskan krisis tenaga global.
“Kami bersetuju, walaupun sekatan akan terus berkuat kuasa sepenuhnya, Project Freedom akan dihentikan sementara untuk tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian itu dapat dimuktamadkan dan ditandatangani,” kata Trump dalam hantaran di media sosial.
Sejurus selepas hantaran Trump, niaga hadapan minyak mentak AS susut AS$2.30 (RM9.08) dan jatuh di bawah paras AS$100 (RM395) setong, penanda aras penting sejak konflik menyebabkan harga tenaga melonjak dua bulan lalu.
Rumah Putih tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen mengenai kemajuan yang dicapai atau tempoh sebenar penangguhan tersebut.
Kelmarin, Rubio bersama pegawai kanan pentadbiran lain menegaskan Iran tidak boleh dibenarkan mengawal pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.
Iran secara berkesan menutup selat itu dengan mengancam untuk menggunakan periuk api, dron, peluru berpandu dan bot serangan pantas.
AS pula bertindak balas dengan menyekat pelabuhan Iran serta melaksanakan operasi iringan bagi kapal komersial.
Tentera AS pada Isnin memaklumkan, ia memusnahkan beberapa bot kecil Iran, selain peluru berpandu jelajah dan dron.
OPERASI TAMAT
Rubio mendakwa, operasi utama AS mencapai objektifnya dalam ketenteraan yang dilancarkan pada 28 Februari lalu bersama Israel.
“Operasi Epic Fury selesai. Kami tidak menyambut sebarang perkembangan tambahan yang tidak diingini,” kata Rubio kepada pemberita di Rumah Putih.
Satu daripada matlamat utama Trump dalam melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran adalah untuk memastikan Teheran tidak membangunkan senjata nuklear, walaupun Iran menafikan dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, Iran dilaporkan masih belum menyerahkan lebih 900 paun uranium yang diperkaya tinggi.
Ketika Rubio sedang memberi kenyataan, Agensi Operasi Perdagangan Maritim Britain melaporkan sebuah kapal kargo terkena peluru atau projektil di Selat Hormuz. Butiran mengenai insiden itu belum dapat disahkan serta-merta.
Pada masa sama, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata pada Selasa, AS berjaya membuka semula laluan selamat di kawasan perairan itu, dengan ratusan kapal komersial kini beratur untuk melaluinya.
Beliau turut menegaskan gencatan senjata selama empat minggu dengan Iran masih kekal dan belum berakhir.
“Pada masa ini gencatan senjata masih bertahan, tetapi kami akan memantau keadaan dengan sangat, sangat teliti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Dan Caine berkata, serangan Iran terhadap tentera AS tidak cukup serius untuk memulakan semula operasi tempur utama pada ketika ini.
HAK UNTUK TINDAK BALAS
Sejurus selepas kenyataan Hegseth, Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan sistem pertahanan udaranya sekali lagi berdepan serangan peluru berpandu dan dron yang didakwa datang dari Iran.
Bagaimanapun, komando tentera bersama Iran menafikan ia melancarkan sebarang serangan.
Kementerian Luar UAE menyifatkan serangan tersebut sebagai peningkatan serius dan mengancam keselamatan negara itu secara langsung, sambil menegaskan negara Teluk tersebut berhak untuk bertindak balas sepenuhnya dan secara secara sah.
Kementerian Luar Iran pula menolak kenyataan Abu Dhabi, dengan menyatakan tindakan angkatan tenteranya hanya bertujuan menangkis pencerobohan AS.
Perang yang berlarutan itu mengorbankan ribuan nyawa apabila ia merebak melangkaui Iran ke Lubnan dan rantau Teluk, sekali gus mengganggu ekonomi global.
Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa berkata, walaupun konflik itu berakhir serta-merta, kesannya dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk ditangani sepenuhnya.
Trump sebelum ini berkata, serangan AS-Israel bertujuan menghapuskan ancaman segera dari Iran, dengan merujuk kepada program nuklear dan peluru berpandu balistik Teheran serta sokongannya terhadap Hamas dan Hizbullah.
Iran pula menyifatkan serangan tersebut sebagai pencabulan kedaulatan dan menegaskan haknya untuk membangunkan teknologi nuklear bagi tujuan aman, termasuk pengayaan uranium, selaras sebagai pihak kepada Perjanjian Anti-Proliferasi Nuklear (NPT).
Usaha diplomatik untuk menamatkan konflik masih belum membuahkan hasil. Pegawai AS dan Iran pernah mengadakan satu pusingan rundingan damai secara bersemuka, namun usaha untuk mengatur pertemuan susulan gagal.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, rundingan damai masih diteruskan dengan pengantaraan Pakistan. Beliau dilaporkan tiba di Beijing pada Rabu pagi untuk berbincang dengan rakan sejawatnya dari China mengenai hubungan dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa. Trump juga dijadualkan mengadakan lawatan ke China bulan ini.- AGENSI










