MEKAH: Kecekapan juruterbang pesawat MH8110 berjaya meredakan kebimbangan 278 jemaah haji Malaysia susulan isu teknikal yang berlaku di ruang udara Oman.
Seorang jemaah, Nadia Hanis Abdul Samat, 39, berkata, meskipun berdepan detik mencemaskan apabila pesawat seolah-olah menurun secara tiba-tiba, dia melihat juruterbang berjaya mengendalikan penerbangan dengan baik sehingga selamat mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada Isnin lalu.
Menceritakan detik tersebut, katanya, pesawat terasa seperti menjunam sedikit selain berlaku perubahan tekanan udara sehingga menyebabkan telinga berbunyi sebelum juruterbang membuat pengumuman.
“Namun juruterbang memang terbaik dan cekap dalam mengendalikan situasi. Keadaan itu memastikan suasana kekal terkawal tanpa sebarang masalah dengan semua jemaah berada dalam keadaan baik.
“Kami juga diberitahu pesawat A330 mempunyai dua enjin dan masih boleh terbang dengan selamat. Alhamdulillah, keadaan kekal tenang tanpa sebarang masalah, semuanya okey,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau adalah antara 278 jemaah haji KT051 yang mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman susulan isu teknikal sebelum selamat tiba di tanah suci semalam.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada pukul 5.33 pagi dari Muscat.
Terdahulu, ketibaan rombongan jemaah disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun bersama barisan pengurusan serta petugas Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut Nadia Hanis, walaupun berdepan situasi mencemaskan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Allah selain mengingatkan jemaah lain supaya tidak panik dan memperbanyakkan doa.
“Saya tidak pernah hilang motivasi, cuma tertanya-tanya apa yang berlaku. Dalam perjalanan haji ini, kita memang sudah bersedia bahawa akan ada ujian,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi jemaah, Noor Naziera Zailan, 30, berkata, pengalaman berdepan isu teknikal itu dilihat dari sudut positif kerana membawa hikmah yang tidak disangka.
“Kami anggap ia ujian, tetapi dalam masa sama satu nikmat yang tidak terjangka. Semua ujian adalah nikmat.
“Dalam situasi ini, ukhuwah sesama jemaah menjadi lebih kuat. Kami saling mengenali dengan lebih rapat dan bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.
Menurutnya, setiap ujian dalam perjalanan haji wajar dilihat sebagai satu bentuk nikmat yang menguatkan keimanan serta hubungan sesama insan. – UTUSAN











