Kerana miskin, tiga beradik tak sekolah

Kerana miskin, tiga beradik tak sekolah

NORHAYATI Yusop bersama tiga anaknya yang tidak bersekolah ketika ditemui di Chikus dekat Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Tiga beradik ma­sing-masing berusia sembilan, 12 dan 15 tahun di Kampung Parit 8, Jalan Besar Chikus dekat sini tidak bersekolah kerana faktor kemiskinan.

Ibu kepada tiga beradik itu, Norhayati Yusop, 44, berkata, anaknya Nurul Adawiyah Zaharon, 12, dan Mohamad Adam Zaharon, 9, tidak pernah bersekolah manakala Mohammad Safuan Azhar, 15, bersekolah setakat tingkatan 1 sahaja.

Menurutnya, dia tidak mam­pu menyara persekolahan anak­nya apatah lagi selepas suami­nya masuk penjara Janua­ri lalu.

“Kami hidup dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal. Wang berkenaan untuk beli barang dapur dan lain-lain keperluan anak-anak serta sewa rumah RM150,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, dia sedar pendidikan untuk anak-anak sangat penting, tetapi keadaan hidup yang serba kekurangan membuatkan tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah seperti anak-anak orang lain.

Katanya, jika ada pihak yang mahu membantu, dia bersedia untuk anak-anaknya bersekolah semula.

“Sudah puas mencari kerja untuk menyara menjaga anak-anak tapi tidak dapat. Tidak kisahlah cuci pinggan atau pembantu kedai tapi tidak ada orang sudi terima saya,” katanya.

Norhayati berharap anak-anaknya dapat kembali ke sekolah kerana mahu mereka berjaya seperti orang lain dan harap ada pihak sudi membantu menyelesaikan masalah persekolahan anak-anaknya.

“Saya kasihan dan bimbangkan masa depan mereka. Saya tidak sanggup lagi mendengar rintihan anak yang mahu ke sekolah. Mereka bosan tinggal di rumah. Mereka minta saya carikan sesiapa yang boleh bantu mereka bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Safuan Azhar berkata, dia mahu bersekolah tetapi ibunya memberitahu tiada wang.

“Saya mahu sekolah lagi, saya mahu masuk universiti untuk bantu keluarga,” katanya.

Nurul Adawiyah pula berkata, sepatutnya dia berada di tahun 6 tahun ini, namun kekangan hidup yang dihadapi keluarga menyebabkan hasrat itu tidak kesampaian seperti kawan-kawan lain yang bersekolah.

“Saya harap dapat bersekolah kerana pendidikan sangat penting,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN