PETALING JAYA: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (Mara BPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi akademik 2026/2027 akan diumumkan pada 22 Mei ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan tersebut boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh berkenaan sehingga 31 Mei, jam 5 petang.
“Semakan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal UPUOnline selain melalui aplikasi mudah alih UPUPocket dan MyGov.
“Pengesahan setuju terima tawaran pula bermula dari 23 hingga 31 Mei 2026 menerusi laman web UA, IPTA dan Mara BPT.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan kepada calon berjaya mulai 23 Mei selepas pengesahan setuju terima dibuat dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
KPT turut memaklumkan, bagi pelajar yang tidak berjaya atau menerima tawaran pengajian peringkat sijil, mereka dibenarkan mengemukakan rayuan melalui sistem UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula 22 Mei hingga 31 Mei ini.
Katanya lagi, rayuan ke kolej komuniti pula boleh dibuat terus kepada institusi terbabit tanpa melalui sistem UPUOnline.
“KPT menegaskan tawaran tempat bagi sesi akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian UA, IPTA dan MARA BPT tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan pula tertakluk kepada kekosongan tempat selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya.
Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan UPUOnline boleh diajukan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi di Putrajaya menerusi talian 03-8684 2363 atau e-mel [email protected]. – UTUSAN










