PUTRAJAYA: Pemulihan aset berjumlah RM7.9 billion (AS$2 billion) yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2027.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, cabaran menguruskan kes 1MDB bermula sejak 3 Julai 2015.
Menurut beliau, kes itu menjadi antara detik penting dalam kerjayanya, termasuk antara pegawai yang membuka fail siasatan ketika itu.
“Sejak 2015 hingga 2025, 10 tahun kes ini berjalan sehingga pertuduhan dibuat di mahkamah. Sehubungan itu, usaha pemulihan aset perlu dipergiatkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Azam berkata, sehingga kini, negara berjaya mendapatkan semula aset bernilai lebih RM31.3 bilion, termasuk penjualan kapal layar mewah Equanimity pada harga kira-kira RM543 juta, pemulangan jet peribadi dan hartanah di luar negara.
“Selain itu, Malaysia juga telah mencapai penyelesaian global melibatkan institusi kewangan antarabangsa seperti Goldman Sachs, IPIC dan Aabar, serta firma audit seperti Deloitte dan KPMG, yang secara keseluruhan menyumbang berbilion ringgit kepada negara.
“Pemulangan dana oleh individu dan entiti lain termasuk melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ), turut memperkukuh pencapaian ini,” katanya.
Jelasnya, kejayaan-kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama rapat dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Singapura dan banyak lagi negara.
Azam berkata, SPRM terus komited untuk menjejaki dan mendapatkan semula setiap aset 1MDB yang telah diseleweng, tanpa mengira lokasi atau tempoh masa.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memulihkan sumber kewangan negara tetapi juga untuk mengembalikan maruah serta kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
“Tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan setiap sen milik rakyat akan dipastikan dikembalikan,” katanya. – UTUSAN










