PUTRAJAYA: Lapan lagi lukisan berkualiti tinggi karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai lebih RM120 juta akan dibawa pulang hujung tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, tindakan ini adalah sebahagian pemulihan aset yang sedang giat dijalankan SPRM melibatkan beberapa bidang kuasa luar negara.
Katanya, karya-karya seni berkenaan kini berada pada pelbagai peringkat proses pemulihan yang melibatkan prosedur perundangan kompleks, permohonan bantuan perundangan bersama serta rundingan dengan pihak berkuasa asing.
Jelasnya, proses yang lazimnya mengambil masa beberapa tahun lagi berjaya dipercepatkan melalui kerjasama rapat antara Malaysia dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland.
“Melalui kerjasama dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat, kita berjaya mencapai beberapa kejayaan dari sudut perundangan dan perkara berkaitan.
“Sudah tentu kita berdepan prosedur bantuan perundangan bersama dan perkara yang perlu melalui Jabatan Peguam Negara.
“Namun kita optimis lapan karya seni ini dapat dibawa pulang menjelang hujung tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata, Jabatan Peguam Negara sangat penting dalam memudahkan rundingan serta menyelesaikan kerumitan perundangan dengan kerajaan dan pihak berkuasa asing.
“Jabatan ini memainkan peranan utama dalam berurusan dengan rakan sejawat di luar negara selain membantu SPRM mengendalikan pelbagai proses perundangan berkaitan usaha pemulihan aset,” jelasnya.
Azam berkata, antara karya seni yang masih dalam usaha mendapatkan semula ialah karya Pablo Picasso bernilai kira-kira RM5.9 juta (AS$1.265 juta).
Selain itu, SPRM turut menjejaki karya oleh Alexander Calder sekitar RM585,000 (AS$125,000); William H. Bailey RM311,000 (AS$66,250) ; Henri Matisse RM247,000 (AS$52,500) dan Raoul Dufy RM188,000 (AS$40,000).
“Nilai karya yang dikaitkan dengan Salvador Dalí dan Gustave Loiseau pula masih dalam proses pengesahan.
“Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan sekitar RM6.9 juta,” ujarnya.
Jelas Azam, SPRM juga sedang berusaha mendapatkan semula hasil jualan lukisan Vétheuil au Soleil karya Claude Monet.
“Lukisan itu dijual di Switzerland pada harga kira-kira RM114 juta, dengan dana berkenaan kini tertakluk kepada prosiding penyitaan oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat,” katanya. – UTUSAN










