Empat lukisan babitkan 1MDB masih di AS

Empat lukisan babitkan 1MDB masih di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat daripada 12 lukisan berkualiti tinggi karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai melebihi RM140 juta (AS$30 juta) perlu melalui beberapa prosedur ketat sebelum dibawa masuk ke negara ini.

Difahamkan, lukisan karya tinggi itu masih berada di Amerika Syarikat (AS) untuk tindakan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilalui termasuk pemeriksaan rapi bagi memastikan ketulenan karya selain pengesahan dokumentasi pemilikan dan pemulangan.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pemeriksaan fizikal perlu dilakukan secara terperinci bagi memastikan lukisan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kerosakan sepanjang proses penghantaran.

“Langkah-langkah keselamatan tambahan turut diambil termasuk penggunaan pembungkusan khas, kawalan suhu dan kelembapan serta pengiring keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kehilangan atau kerosakan terhadap karya bernilai tinggi itu.

“Proses ini penting bagi menjamin integriti lukisan berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa di negara ini,” katanya di sini semalam.

Mohamad Zamri berkata, lukisan itu masih belum tiba di negara ini dan lokasi keberadaanya tidak dapat didedahkan atas faktor keselamatan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan lukisan yang akan dibawa pulang adalah L’Ecuyère et les clowns (Pablo Picasso) yang bernilai AS$26,250; Etude pour femme couchée (Balthus, 1948) (AS$28,125); Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, rue St Vincent, Montmartre (Maurice Utrillo, 1934) (AS$50,000); dan Composition (Joan Miró, 1953) (AS$93,750).

Kesemua lukisan bernilai tinggi itu adalah hasil perbincangan rasmi bersama Federal Bureau of Investigation (FBI) serta United States Department of Justice (USDOJ) di Washington, DC pada Disember lalu.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 12 karya dituntut kerajaan Malaysia kerana mempunyai kaitan dalam penyelewengan 1MDB, termasuk empat yang kini dalam perjalanan ke Malaysia serta satu karya dipercayai nukilan Pablo Picasso masih berada di Switzerland.

Enam lagi mahakarya pelukis terkenal dunia yang pernah dimiliki saksi kes 1MDB, Jasmine Loo, masih di bawah jagaan rumah lelong terkenal Christie’s dan hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di AS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN