PETALING JAYA: Jumlah keseluruhan aset milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo di Switzerland dianggarkan lebih RM150 juta, melibatkan simpanan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat dan euro.
Aset berkenaan turut merangkumi empat daripada 12 lukisan berkualiti tinggi karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB, bernilai lebih RM140 juta (AS$30 juta).
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sebanyak RM37.34 juta (AS$9.26 juta) dikenal pasti berada dalam beberapa akaun serta pegangan lain.
Katanya, sejumlah RM114.78 juta (euro25.23 juta) pula dipercayai berkait dengan hasil penjualan karya seni terkenal.
“Antara pecahan aset yang dikenal pasti termasuk pegangan karya seni bernilai RM7.05 juta (AS$1.75 juta) melibatkan sembilan lukisan artis tersohor dunia seperti Pablo Picasso, Henri Matisse dan Joan Miró.
“Selain itu, sebanyak RM1.85 juta (AS$459,743.87) ditempatkan dalam akaun Vine Partners manakala RM28.45 juta (AS$7.06 juta) lagi disimpan menerusi akaun River Dee International SA,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut beliau, jumlah terbesar iaitu RM114.78 juta (euro25.23 juta) dipercayai hasil penjualan lukisan karya Claude Monet bertajuk “Vétheuil au Soleil” yang kini disimpan oleh firma guaman di Switzerland.
“Kesemua aset berkenaan kini dalam proses pemulihan oleh Kerajaan Malaysia sebagai sebahagian usaha menjejak dan mendapatkan semula dana berkaitan skandal 1MDB,” katanya.
Ditanya, sama ada empat daripada 12 lukisan berkualiti tinggi karya pelukis tersohor dunia dikaitkan Jasmine Loo, Zamri memaklumkan karya itu belum tiba setakat ini.
“Belum,” katanya ringkas.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, waktu sebenar ketibaan empat daripada 12 lukisan berkualiti tinggi karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai lebih AS$30 juta atau RM140 juta tidak dapat didedahkan secara terperinci atas faktor keselamatan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan karya seni berkenaan terjamin memandangkan ia mempunyai nilai tinggi serta menjadi sebahagian daripada aset berkaitan siasatan.
Azam berkata, setakat ini lukisan berkenaan masih belum tiba di negara ini kerana perlu melalui beberapa proses termasuk dokumentasi dan pengurusan berkaitan sebelum penghantaran dapat dilaksanakan.
Bagi proses membawa pulang kesemua lukisan itu, kerajaan melalui SPRM telah menanggung kos insurans dan penghantaran kesemua lukisan mewah berkenaan ke negara ini.
Pada 13 Disember 2025, usaha pemulihan aset 1MDB terus diperkukuh apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju untuk mengembalikan koleksi lukisan bernilai lebih AS$30 juta kepada Malaysia.
Perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember 2025.
Antara perkara-perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan pemulihan aset 1MDB melibatkan usaha mengembalikan lukisan bernilai tinggi yang telah dibeli Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan USDOJ. – UTUSAN









