Zara Aftar mangsa dilanggar SUV guru pulih, dibenar keluar hospital

Zara Aftar mangsa dilanggar SUV guru pulih, dibenar keluar hospital

DR. Mohd. Azman Yacob (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada pesakit sarcoma semasa Program East Coast Sarcoma Symposium 2026: From Awareness to Action di Auditorium, Aras 5, Kompleks Rawatan Harian HRPZ II, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mangsa kedua insiden dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) milik seorang guru di surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini, Zara Aftar Zamzuri, 13, dibenarkan keluar Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, pelajar itu semakin pulih selepas menjalani pembedahan pada bahagian cuping telinga minggu lepas.

“Alhamdulillah, keadaan Zara Aftar semakin baik selepas pembedahan yang dijalankan pada Isnin lalu dan dia telah dibenarkan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, mangsa masih perlu menjalani sekurang-kurangnya lima sesi pemeriksaan susulan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan Program East Coast Sarcoma Symposium 2026: From Awareness to Action di Auditorium, Aras 5, Kompleks Rawatan Harian HRPZ II, di sini hari ini.

Dr. Azman berkata, selain rawatan fizikal, mangsa turut menerima sokongan dan rawatan psikologi yang diteruskan mengikut keperluan serta keadaan emosinya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lagi pelajar, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut selepas dirempuh SUV yang dipandu seorang guru wanita berusia 57 tahun di hadapan surau SMK Tanjong Mas pada 12 April lalu.

Kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan di sekolah berkenaan dipercayai berpunca daripada pemandu SUV yang tertekan pedal minyak lalu terbabas sebelum merempuh mangsa. Kejadian pukul 1.50 petang itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN