LUMUT: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berbangga dengan kehadiran bekas bintang Arsenal dan Real Madrid, Mesut Ozil di Daerah Manjung hari ini.
Zambry gembira apabila kehadiran Ozil mendapat sambutan sangat meriah daripada para peminat bola sepak di daerah ini.
“Sambutan hangat yang diberikan oleh golongan muda khususnya peminat Ozil sungguh membanggakan,” kata Zambry.
Zambry berkata, beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pemain itu lalu menjemputnya datang ke Manjung sempena kunjungan lima hari Ozil ke Malaysia.
“Dia kata nak tengok kampung kita (Malaysia). Justeru itu saya menjemputnya ke sini dan kita adakan satu program bola sepak iaitu klinik khas,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Manjung (PBDM) , Datuk Rashidi Ibrahim terkejut dengan sambutan masyarakat Manjung terhadap program melibatkan Ozil itu.
“Saya terkejut dengan sambutan peminat terhadap program ini apabila ramai yang hadir walaupun ia diadakan pada hari bekerja,” katanya.
Lebih 500 pelajar dari sekolah dan akademi bola sepak di sekitar Manjung menghadiri klinik khas yang diadakan sempena lawatan Ozil. – UTUSAN










