SEREMBAN: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai memandu melawan arus di Jalan Persiaran Utama S2/1 berhampiran pusat beli-belah di sini dalam kejadian yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya mengesan kejadian tersebut menerusi satu video berdurasi satu minit 59 saat yang tular memaparkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu secara berbahaya.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 4 April lalu sekitar pukul 1.58 petang di lokasi berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berjaya mengesan suspek sebelum wanita berusia lingkungan 30-an itu tampil ke pejabat BSPT Seremban.
“Suspek yang tinggal di Selangor mengaku sebagai pemandu kenderaan berkenaan dan telah ditahan bersama keretanya bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azahar berkata, hasil saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah.
“Alasan yang diberikan adalah dia pertama kali melalui jalan tersebut,” katanya. – UTUSAN










