Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) baru-baru ini menganjurkan Program Pensijilan Sukarelawan dan Asas Kecemasan Kebangsaan 2026 bagi memperkasa kemahiran serta profesionalisme sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.
Program yang menghimpunkan seramai 81 mahasiswa universiti awam itu bertujuan menyeragamkan kompetensi sukarelawan, meningkatkan tahap keselamatan ketika pelaksanaan misi selain membentuk pelajar yang berdisiplin dan berkemahiran melalui modul latihan berstruktur.
Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad berkata, kepelbagaian amalan dalam misi sukarelawan memerlukan penyelarasan bagi memastikan keselamatan serta keberkesanan operasi di lapangan.
“Selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035, program ini membantu merapatkan jurang dalam pembinaan sahsiah pemimpin masa hadapan, khususnya dari aspek kepemimpinan beretika dan penerapan nilai murni.
“Penglibatan universiti dalam pelbagai misi sukarelawan seperti bantuan pasca banjir, khidmat masyarakat dan program keluarga angkat menuntut latihan yang lebih sistematik bagi melahirkan mahasiswa yang bersedia memimpin serta berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Program, Emilia Umairah Zulkifli Gan berkata, penganjuran program selama dua hari itu memberi pendedahan menyeluruh kepada aspek pengurusan, kepimpinan dan kawalan emosi dalam situasi mencabar.
“Pengalaman mengendalikan program berskala besar ini mengajar kami untuk menjadi pemimpin yang lebih efektif dengan mengutamakan kebajikan peserta serta penyampaian ilmu secara optimum,” katanya. –UTUSAN









