KUALA LUMPUR: Kumpulan rock Indonesia, Ungu, menerima kritikan terhadap kualiti persembahan mereka tahun lalu yang dianggap hambar dengan hati terbuka, selain berjanji tampil lebih bertenaga pada konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur pada September depan.
Vokalisnya, Pasha, 46, berkata, kualiti persembahan bukan hanya bergantung kepada penyanyi dan pemuzik semata-mata, sebaliknya terhasil daripada sinergi antara sistem bunyi, kru belakang tabir serta respons penonton.
“Kali ini saya akan lebih energetik. Bagi saya, kami sentiasa memberikan yang maksimum. Namun, konsert melibatkan banyak faktor. Jika ‘vibes’ penonton bersemangat, kami juga akan terbawa sama, begitu juga sebaliknya.
“Konsert bukan sekadar soal band, tetapi sistem bunyi dan kru juga memainkan peranan. Jika ada kekurangan sebelum ini, mungkin disebabkan mood atau faktor teknikal, namun kami tidak pernah mengambil mudah,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.
Tambah Pasha atau Sigit Purnomo Syamsuddin Said, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati Ungu sehingga mereka meletakkan piawaian tinggi setiap kali membuat persembahan di sini.
Malah, katanya, persiapan untuk beraksi di hadapan peminat Malaysia jauh lebih teliti berbanding persembahan di negara sendiri.
“Apabila menerima tawaran konsert di Malaysia, kami jadi ‘pening’ memikirkan pelbagai aspek. Daripada senarai lagu, busana, konsep muzik pembukaan sehinggalah rekaan pentas, semuanya diperhalusi.
“Bukan mahu mengenepikan Indonesia, tetapi di sana kami beraksi hampir setiap minggu. Di Malaysia, ia sangat istimewa. Boleh dikatakan, untuk satu konsert, mesyuarat boleh mencecah sehingga 100 kali demi memastikan penampilan terbaik,” jelasnya.
Menyentuh persediaan fizikal memandangkan usia anggota kini mencecah empat dekad, Pasha mengakui aspek stamina menjadi keutamaan.
Menurutnya, setiap anggota mempunyai ritual tersendiri sebelum naik ke pentas bagi memastikan fokus berada pada tahap optimum.
“Stamina sangat penting. Jika ada konsert besar di Malaysia, saya biasanya mengelakkan sebarang acara lain seperti sesi fotografi atau sidang media pada hari sama. Saya perlukan masa untuk berehat dan bertenang.
“Anggota lain juga ada ritual masing-masing. Onci misalnya akan ke tandas dahulu, Makki gemar membaca buku, manakala Enda melakukan senaman ringan. Kami mahu pastikan sebaik sahaja bergerak ke lokasi konsert, semua sudah fokus sepenuhnya,” katanya.
Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Idea Live Arena dijadual menjadi acara istimewa sempena ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan itu sejak 1996. Tiket mula dijual pada 27 April.
Selain Pasha, Ungu turut dianggotai Makki (bass), Enda (gitar), Onci (gitar) dan Rowman (dram). -UTUSAN










