Sempat genggam tangan ayah buat kali terakhir - Hamzah Samsuddin - Utusan Malaysia

Sempat genggam tangan ayah buat kali terakhir – Hamzah Samsuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA kehilangan ayah, ibu, kakak dan abang. Kematian bukan sesuatu yang janggal dalam hidup hingga buatkan saya takut,”

Demikian luahan hati penyanyi, Hamzah Samsuddin, menceritakan debutnya dalam dunia seni menerusi lagu Masih Menunggu. Lagu ciptaan komposer, Ilham Baso ini menceritakan harapan serta rintih rindu kepada insan yang disayang seolah-olah mencerminkan perjalanan hidup jejaka berusia 31 tahun ini.

Hamzah mengakui muzik dan nyanyian banyak menemani harinya melawan kesepian lebih-lebih lagi sejak pemergian bapanya, Allahyarham Samsuddin Syed Muhammad yang meninggal dunia akibat Covid-19 beberapa tahun lalu.

Lebih menyedihkan, ketika itu Hamzah ditugaskan menjadi salah seorang pegawai yang menguruskan dan memantau kilang-kilang semasa pandemik, namun tidak sangka pula bapanya pergi kerana virus yang sama.

“2012 saya kehilangan ibu akibat sakit tua. Ketika saya berkhidmat sebagai penjawat awam yang ditugaskan memantau virus Covid-19, boleh dikatakan berkhidmat untuk negara, Allah duga saya hilang ayah. Jadilah, saya seorang yatim piatu.

“Ketika itu saya memantau kilang, jadi tidak boleh balik rumah sebab takut bawa virus. Mandi dan tidur semua di pejabat hanya buat panggilan video sahaja. Tapi tidak sangka ayah terkena virus di tempat kerjayanya, ralat tidak dapat menguruskannya,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran lagu Masih Menunggu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hamzah bersyukur kerana sempat mempunyai interaksi bersama arwah bapanya sebelum ditidurkan.

“Balik kerja saya terima berita ayah pengsan dan di zon merah. Saya terduduk ada juga rasa terkilan tak sangka orang tua sendiri sedang bergelut. Saya sempat sampai hospital Selayang nampak ayah tunjuk ibu jari sebelum ditidurkan.

“Saya sempat pegang tangannya dan cakap ‘Hamzah halalkan segalanya, ayah tenanglah, jangan fikir kami anak-anak’. Selepas itu, doktor kata ayah sudah tiada sudah 15 minit sedangkan tangannya dia masih rasa hangat lagi ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada enam beradik itu sentiasa membawa doa dan harapan orang tuanya untuk bergelar penyanyi. Malah, walaupun sudah tiada kasih sayang orang tua, namun Hamzah bahagia dikelilingi rakan sekerja yang diibaratkan sebagai keluarga sendiri.

CUBA NASIB DALAM INDUSTRI 

Jelas Hamzah, sejak beberapa tahun lalu dia sentiasa mencari ruang terjun ke dalam industri seni menyertai program pencarian bakat namun rezekinya belum tiba.

“Saya sudah cuba nasib dalam banyak pertandingan, baik di Astro, TV3 dan lain-lain tapi mungkin waktu itu saya tidak bersedia, atau juri yang mahir nampak saya belum bersedia.

“Tahun lalu saya berkenalan dengan komposer Ilham Baso yang juga pernah buatkan lagu untuk Ara Johari. Ilham hanya buatkan lagu untuk saya dalam 30 minit selepas melihat cara nyanyian saya di Instagram.

“November tahun lepas saya ke Jakarta untuk proses rakaman dan hari ini Alhamdulillah sudah boleh dikongsikan.

“Saya risau juga ada tak orang hendak dengar lagu ini tapi rakan-rakan banyak yakinkan saya. Semoga lagu ini mendapat perhatian sebab pada masa sama saya juga sudah mempunyai perancangan untuk kerjaya seni pada masa akan datang. Cita-cita saya semoga dapat menjejakkan kaki ke Anugerah Juara Lagu, Insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN