PETALING JAYA: Empat pemungut hutang ditahan selepas bertindak agresif dengan mengugut dan menyebar fitnah terhadap seorang kontraktor dalam serbuan di Desa Bukit Tiara, Cheras, pada minggu lalu.
Penahanan suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun ditahan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerusi Op Cantas pada 23 April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang kontraktor yang mendakwa kediamannya ditampal pelekat berunsur fitnah selain menerima ugutan jenayah melalui panggilan telefon.
Katanya, dalam operasi tersebut, sebuah kenderaan jenis Perodua Axia, lima telefon bimbit, sebuah pembesar suara serta dua helai vest bertulis pemungut hutang yang dipercayai digunakan untuk tujuan intimidasi dirampas.
“Siasatan mendapati kumpulan ini aktif melakukan kacau ganggu di 18 lokasi berbeza sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Puchong, Petaling Jaya dan Rawang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kesemua suspek direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
“Kertas siasatan kini dalam proses dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN










