KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi, mengakui kini sedang menghitung hari untuk menimang cahaya mata pertamanya dalam masa terdekat.
Sufian, 33, bersyukur kandungan isterinya, Rania Al Sadat hampir mencecah 37 minggu menandakan mereka bakal menyambut kadatangan cahaya mata sulung ke dalam keluarga kecil mereka tidak lama lagi.
“Ya betul, saya bakal bergelar seorang bapa tidak lama lagi. Sebenarnya tinggal tunggu masa sahaja. Usia kandungan sudah hampir 37 minggu.
‘Kalau ikutkan kawan-kawan, sekitar waktu begini memang sudah boleh bersalin.
“Jadi, memang bila-bila masa sahaja,” katanya.
Sufian ditemui semasa majlis Seloka Lebaran 2026, di Courtyard by Marriott, di sini, hari ini,
Bercakap mengenai persiapan, penyanyi Di Matamu itu sudah menyiapkan segala kelengkapan bayi namun tidak dapat lari daripada perasaan gementar untuk menggalas tanggungjawab sebagai bapa buat kali pertama.
“Persediaan barangan memang sudah siap sepenuhnya, tapi dari segi emosi dan mental, saya masih lagi berdebar.
“Bila tanya kawan-kawan pun, tak ada yang 100 peratus bersedia bila nak dapat anak pertama. Saya rasa saya pun dalam situasi yang sama, tapi secara keseluruhan, saya sangat teruja,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, Sufian turut mengambil inisiatif melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dengan menghadiri kelas persediaan selain mencari tip tambahan menerusi media sosial.
Mengulas mengenai keadaan isteri, Sufian bersyukur apabila isteri tidak mengalami sebarang alahan malah sentiasa konsisten untuk berjalan tiga kilometer setiap hari.
“Alhamdulillah, dia sangat kuat. Tak ada apa-apa yang ekstrem. Alahan pun ringan saja masa trimester pertama. Mengidam pun tak ada. Biasa saja sebab kami memang suka makan dan food hunting.
“Walaupun dia nampak manja dan lembut, sebenarnya dia kuat. Dia masih aktif, bukan jenis yang tak boleh buat apa-apa. Setiap hari lepas Subuh, kami cuba berjalan sekitar tiga kilometer,” ujarnya.
Untuk rekod, Sufian dan Rania selamat disatukan sebagai suami isteri pada 2 Mei tahun lalu. -UTUSAN










