TLDM tiada keperluan iringi kapal tangki di selat hormuz

TLDM tiada keperluan iringi kapal tangki di selat hormuz

Adly Zahari bermesra dengan kanak-kanak austime selepas Majlis Peluncuran Ikhtiar Autisme ATM (IA-ATM) 2025/2026 di PPDK Kem Terendak, hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak mempunyai keperluan untuk mengiringi tujuh kapal tangki Malaysia secara berperingkat keluar dari Selat Hormuz buat masa ini selepas mendapat kebenaran dari Iran.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara berkaitan laluan strategik itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Malaysia memandangkan ia melibatkan hubungan antara Malaysia-Iran.

“Buat masa ini, tiada keperluan untuk TLDM melaksanakan tugas mengiring kerana Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Iran serta negara-negara serantau yang terlibat.

“Laluan di Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak mentah global, justeru aspek keselamatan di kawasan itu sentiasa diberi perhatian oleh komuniti antarabangsa.

“Kita juga yakin dengan mekanisme keselamatan sedia ada di peringkat antarabangsa serta komitmen negara-negara berkepentingan dalam memastikan laluan ini kekal selamat dan terbuka,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Ikhtiar Autisme ATM (IA-ATM) 2025/2026 di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kem Terendak, di sini hari ini.

Semalam Kementerian Luar Malaysia mengesahkan satu daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz diberikan laluan selamat dan kini sedang meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.

Ia susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac, yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal Malaysia untuk menyambung semula perjalanan mereka.

Adly berkata, Malaysia mengambil pendekatan diplomasi dan kerjasama antarabangsa dalam memastikan kelancaran laluan perdagangan tersebut tanpa perlu penglibatan ketenteraan secara langsung.

Katanya, TLDM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dalam melindungi kepentingan maritim negara, namun keutamaan ketika ini adalah kepada keselamatan perairan domestik.

“Sebarang perubahan situasi keselamatan global, termasuk di Selat Hormuz, akan dipantau rapi dan tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan semasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN