KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar, Norhazni Mat Sari didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan menerima suapan berjumlah RM21,000 melalui enam transaksi, empat tahun lalu.
Tertuduh, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Norhazni sebagai penjawat awam didakwa telah menerima suatu benda yang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM21,000 melalui enam transaksi secara pindahan dalam talian bagi pihak anaknya daripada Pengarah Syarikat E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd., Tang Siong Hee yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Bukit Bintang, di sini, pada 18 April 2022, 4 dan 20 Februari, 8 April dan 22 Ogos 2023, serta 19 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala Norhazni diwakili oleh peguam bela, Haresh Mahadevan. – UTUSAN










