PETALING JAYA: Tiada sebab untuk menaikkan harga minyak selepas Malaysia tidak termasuk dalam sekatan oleh Iran di Selat Hormuz.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, negara ini merupakan pengeluar minyak di dunia, malah sekatan terhadap Malaysia di Selat Hormuz tidak lagi berlaku sebagai penghargaan Iran kerana tidak berpihak kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Katanya, masalah sebenar yang berlaku adalah kerana ketirisan dan salah laku dalam pengurusan negara sehingga mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian.
“Tidak ada sebab untuk menaikkan harga minyak kerana sebelum ini pernah membuat kenyataan yang berdegar-degar, boleh menyelesaikan isu harga minyak dalam masa kurang dari 24 jam.
“Tetapi hari ini bersikap penakut dan hilang dunianya dengan berperisaikan alasan kenaikan harga minyak bersama AS dan sekutunya, yang sebenarnya berpunca daripada sekatan yang dilakukan oleh Iran.
“Hakikatnya, Malaysia tidak termasuk dalam negara yang disekat kerana rakyat negara ini menyokong Palestin dan Republik Islam Iran yang diceroboh,” katanya dalam Minda Presiden di Facebooknya hari ini.
Abdul Hadi turut mengaitkan bahawa Melayu dan bumiputera pernah ditipu oleh British melalui perisytiharan darurat untuk menentang komunis dan sebagainya.
Katanya, sebenarnya tindakan itu hanyalah untuk mengekalkan penjajahan dengan berbagai helah, termasuk menjadikan negara terus bergantung dengan penjajah selepas kemerdekaan dengan membodohkan rakyat dan melemahkannya.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberikan amaran bahawa Melayu dan bumiputera jangan mudah lupa, termasuk janji boleh menurunkan harga minyak dalam sekelip mata.
“Rasulullah SAW pernah memberikan amaran supaya orang beriman itu tidak sepatutnya ditipu berulang kali sehingga memperlihatkan kebodohannya. Malulah bangsa Melayu yang mengaku Islam ini sekiranya boleh ditipu berulang kali,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, dunia sedang menghadapi firaun moden bernama Donald Trump (Presiden AS) yang disifatkan sebagai syaitan besar berwajah dajal kerana mengugut dunia dan menyatakan bahawa negaranya paling kuat.
“Rakyat AS sendiri sudah ramai yang sedar akan penipuannya. Sejarah kezaliman berlaku di beberapa buah negara di dunia yang bertopengkan undang-undang bagi mengekalkan kuasa di sebalik jenama menjaga keamanan, keselamatan, kestabilan dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN










