PETALING JAYA: Tiada sebarang keputusan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang selagi Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menghantar surat rasmi peletakan jawatannya sendiri.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, jawatan tersebut sebelum ini dipegang oleh Hamzah, justeru Dewan Rakyat memerlukan surat rasmi daripadanya sendiri bagi sebarang keputusan berkaitan.
Bagaimanapun beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah menghantar surat bagi memaklumkan peletakan jawatan tersebut.
“PN sudah hantar surat perletakan jawatan ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Tetapi kita belum terima lagi surat itu sendiri daripada Hamzah.
“Yang hendak melepaskan jawatan ialah Datuk Seri Hamzah, bukannya Pengerusi PN. Jadi saya perlu tunggu surat rasmi daripada beliau sendiri.
“Sebaik sahaja surat itu sampai, barulah saya akan fikirkan kedudukan beliau (Hamzah) di dalam Dewan Rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Hamzah telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Shamsuri Mokthar.
Menurut Takiyuddin, antara alasan Hamzah melepaskan jawatan Ketua Pembangkang adalah bagi memperbaiki suasana dalam PN.
Dalam surat tersebut, Hamzah turut menyatakan harapan agar keputusannya itu dapat memudahkan urusan pentadbiran PN, sekali gus memastikan kelancaran dan keharmonian dalam gabungan pembangkang utama negara itu. – UTUSAN










