Tiada keperluan potong peruntukan sektor kritikal

Tiada keperluan potong peruntukan sektor kritikal

Keratan Utusan Malaysia 22 April 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak perlu memotong peruntukan bagi mana-mana sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan bagi memastikan kelangsungan ekonomi kerana masih mempunyai keupayaan dalam berdepan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Penganalisis ekonomi, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pendekatan lebih realistik adalah melalui penyusunan semula keutamaan perbelanjaan serta peningkatan kecekapan fiskal tanpa menjejaskan sektor asas.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, langkah mengurangkan perbelanjaan tidak kritikal lebih wajar berbanding memotong peruntukan sektor penting yang memberi kesan langsung kepada pembangunan jangka panjang negara.

“Dalam keadaan semasa, tidak semestinya kerajaan perlu memotong peruntukan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan secara langsung.

“Sebaliknya, pendekatan yang lebih realistik ialah melalui penyusunan semula keutamaan perbelanjaan, pengurangan perbelanjaan tidak kritikal serta peningkatan kecekapan dalam perbelanjaan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya tekanan fiskal meningkat, kerajaan juga boleh memperkukuh pendekatan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Semalam, akhbar ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan bahawa dasar subsidi bahan api yang dinikmati rakyat tidak akan berdepan sebarang perubahan mendadak, meskipun Malaysia turut dihimpit tekanan ekonomi akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Katanya, kerajaan akan memberi jaminan keputusan berkaitan subsidi tidak akan dibuat secara terburu-buru tanpa penelitian data yang menyeluruh.

Sementara itu, Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, semakan semula Belanjawan 2026 merupakan langkah yang lebih realistik dalam keadaan harga minyak yang tinggi dan berpanjangan berbanding mempercepatkan pembentangan belanjawan baharu.

“Kerajaan mempunyai beberapa instrumen fiskal sedia ada yang boleh dimanfaatkan, termasuk semakan fiskal pertengahan tahun, penyediaan peruntukan tambahan serta pelarasan semula keutamaan perbelanjaan mengikut keperluan semasa.

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan menyesuaikan dasar fiskal dengan lebih fleksibel tanpa perlu menunggu kitaran belanjawan seterusnya,” katanya.

Tambah beliau, pembentangan awal Belanjawan 2027 hanya wajar dipertimbangkan sekiranya negara berdepan krisis fiskal yang luar biasa seperti kejatuhan mendadak hasil kerajaan atau tekanan ekonomi berskala besar.

“Namun dalam situasi semasa, mekanisme sedia ada dilihat mencukupi untuk menangani ketidaktentuan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×