Terbeban kos diesel: Pesawah mahu beralih tanam sayur

Terbeban kos diesel: Pesawah mahu beralih tanam sayur

ABDULLAH Yusoff menunjukkan hasil padi yang pernah ditanam olehnya sebelum ini di Tumpat, Kelantan.-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pesawah di negeri ini tidak menolak kemungkinan terpaksa menukar kerja dengan menanam sayur selepas hilang kemampuan untuk menyerap pertambahan kos susulan kenaikan harga diesel selain cuaca kemarau ketika ini.

Seorang pesawah Abdullah Yusof, 62, berkata, dia sudah menanam sayur sebagai langkah awal bagi mengelakkan kantung kewangan terjejas sekiranya kos operasi mengusahakan padi terus naik.

“Saya usahakan secara kecil-kecilan kerana mempunyai sumber tanah yang terhad. Jika ada tapak yang luas, saya berhasrat mengusahakannya dalam skala lebih besar.

“Setakat ini saya hanya ada tanah padi sahaja,” ujarnya.

Abdullah memberitahu, selain itu kerja sebagai tukang rumah turut menjadi pilihan bagi memastikan dapur rumahnya terus berasap kerana dia pernah bekerja sebagai tukang rumah sebelum beralih sepenuhnya kepada tanaman padi.

Sementara itu di BESUT, lebih 200 petani di Kampung Tok Has dan Ayer Terjun di sini mengakui, masalah yang timbul dalam penanaman padi dan menjejaskan kemampuan mereka untuk meneruskan aktiviti penanaman padi seperti biasa.

Ketua Tani Kampung Tok Has, Yusoff Othman berkata, situasi itu menjadi lebih mencabar apabila pesawah turut berdepan kenaikan harga baja dan racun, menyebabkan kos keseluruhan penanaman meningkat berlipat kali ganda.

Katanya, meskipun petani mendapat subsidi baja dan racun daripada kerajaan, namun mereka terpaksa membeli bekalan tambahan untuk keperluan semasa.

“Baja sebelum ini berharga lebih RM200 tetapi dengan kenaikan diesel ia dikatakanmencecah RM300 bagi satu bag manakala racun yang sebelum ini sekitar harga RM50 hingga RM100 mengikut jenis dijangka meningkat lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Yusoff, pesawah kini tertekan kerana hampir semua kos oeprasi meningkat sedangkan hasil padi pula dijangka merosot hampir 50 peratus ekoran terjejas teruk akibat kemarau dan serangan penyakit.

Sementara itu, pengusaha jentera yang juga petani, Mohd. Aizul Azlan, 30, berkata, proses penanaman padi banyak menggunakan jentera termasuk menuai dan membajak tanah yang memerlukan bahan api diesel.

“Upah membajak kini meningkat daripada RM170 bagi 0.4 hektar kepada RM300 bagi keluasan sama untuk menampung kos diesel traktor. Selepas proses tuaian, tanah perlu dibajak sekurang-kurangnya dua kali sebelum penaburan benih.

“Bagi kos lain seperti menggunakan khidmat mesin penuai padi, harganya meningkat daripada RM14 untuk satu guni kepada RM25 ,” katanya di Kampung Ayer Terjun di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN