PETALING JAYA: Terbang ke Singapura dan kemudian Hat Yai, Thailand sebelum memasuki Malaysia melalui laluan haram di Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan.
Itu modus operandi terbaharu sindiket penyeludupan migran Indonesia menggunakan laluan perjalanan berlapis dan cap kemasukan palsu yang ditumpaskan dalam operasi khas, semalam.
Mereka dipercayai membayar RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada sindiket untuk masuk negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan Bahagian Pencegahan Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Katanya, ia membawa kepada penahanan 10 warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 27 hingga 60 tahun.
“Sindiket ini telah mengubah modus operandi daripada guna laluan laut di perairan Selangor kepada pendekatan yang lebih kompleks iaitu melalui laluan udara dan darat secara berlapis.
“Migran dipercayai bergerak dari Indonesia ke Singapura sebelum diterbangkan ke Hat Yai dan ditempatkan di rumah transit, sebelum diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram di Bukit Bunga.
“Sindiket ini juga mengelak gunakan penerbangan terus ke Malaysia, kerana dipercayai kebanyakan migran terlibat telah disenarai hitam daripada memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Zakaria berkata, sindiket dipercayai dikendali dalang utama dari Indonesia dan ada rangkaian ejen perantara yang beroperasi berasingan di Hat Yai.
“Rangkaian ini beroperasi secara berlapis dengan pembahagian tugas yang khusus untuk memutuskan rantaian maklumat antara migran dan ahli sindiket bagi menyukarkan pengesanan,” katanya.
Katanya, Jabatan Imigresen sedang mengesan penglibatan warga tempatan yang dipercayai bersekongkol termasuk membantu dalam urusan pembelian tiket bas dan penyelarasan logistik perjalanan.
Sementara itu, seorang pegawai kanan JIM antara 10 individu ditahan kerana dipercayai terlibat membantu sindiket menyeludup warga asing sehingga mengakibatkan ketirisan hasil negara dianggarkan RM4.1 juta.
Zakaria berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Toyu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama JIM Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Katanya, hasil risikan selama sebulan itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan termasuk seorang ‘transporter’ serta seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai ejen dikenali ‘Toyu’. – UTUSAN










