Tan Lek Khang selamat jalani pembedahan - Hamzah Zainudin

Tan Lek Khang selamat jalani pembedahan – Hamzah Zainudin

HAMZAH Zainuddin tiba di pekarangan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk menziarahi Tan Lek Khang yang kritikal akibat kecederaan ketika menjalani latihan menembak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani proses pemulihan selepas selesai menjalani pembedahan selama kira-kira 4 jam di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, Lek Khang masih belum boleh dilawati sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat kerana masih dipantau rapi pihak hospital.

“Beliau berada dalam ‘recovery period’. Jadi, kita tunggu bila sudah keluar (dewan bedah), masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) baru boleh dibenarkan melawat, kemudian baru dapat tahu keadaan sebenar beliau.

“Pembedahan sudah selesai, dia sahabat saya jadi saya juga akan tunggu dan lihat keadaannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan HSI, di sini malam tadi.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu meluangkan masa selama kira-kira satu jam di hospital berkenaan sambil ditemani beberapa pemimpin politik antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Tambah Hamzah, beliau akui terkejut dengan insiden yang menimpa Lek Khang dan berharap mendapat laporan rasmi daripada pihak polis sebelum sebarang andaian dibuat mana-mana pihak.

“Sudah tentu saya terkejut. Apa yang berlaku ini, kita sendiri tidak tahu sebab apa dan sebagainya. Jadi, saya kena tunggu dan dapatkan laporan polis terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, Lek Khang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian petang semalam ketika sedang mengadakan sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.

Pada 13 Februari lalu, Lek Khang mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta susulan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Lek Khang menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN