Tambahan RM5 bilion untuk PMKS melalui BNM - Utusan Malaysia

Tambahan RM5 bilion untuk PMKS melalui BNM

ANWAR Ibrahim berbual bersama Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (dua dari kiri) selepas meja bulat bersama ketua pegawai eksekutif bank-bank Malaysia di Sasana Kijang, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan me­ngumumkan Kemudahan Khas berjumlah RM5 bilion di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu perusahaan mik­ro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan mengharungi tekanan kos, susulan krisis tenaga global.

Kemudahan itu melengkapi tambahan jaminan RM5 bi­lion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan sebelum ini khusus untuk menyokong PMKS terjejas.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP bersama beberapa langkah segera bagi meringankan beban PMKS susulan krisis tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim jaminan itu turut diperkukuh dengan kadar jaminan dinaikkan daripada 70 kepada 80 peratus manakala tempoh pembia­yaan dilanjutkan dari tujuh kepada 10 tahun.

“Inisiatif ini memberi penekanan kepada penglibatan syarikat kecil termasuk sektor pertanian, pekebun kecil, nelayan, penjaja serta pengusaha warung dan restoran kecil supaya tidak terpinggir daripada akses pembiayaan.

“Kerajaan turut memberi jaminan proses kelulusan akan dipercepatkan bagi memastikan bantuan disalurkan dengan lebih cekap dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Maklumat lanjut mengenai Kemudahan Khas akan di­umumkan oleh BNM,” katanya dalam sidang akhbar sempena meja bulat bersama ketua pegawai eksekutif bank-bank Malaysia, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi mempercepat pelaksanaannya.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan bantuan lebih bersasar berdasarkan pengalaman krisis lalu termasuk krisis kewangan Asia dan pandemik Covid-19.

“Bantuan dan subsidi akan ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.

“Pada masa sama, kerajaan memastikan bekalan keperluan asas seperti minyak, gas dan baja kekal mencukupi bagi mengelakkan gangguan kepada momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil maklum isu yang dibangkitkan berkaitan keupayaan mendapatkan pinjaman, di mana rekod kadar kelulusan pembiayaan PMKS adalah hampir 80 peratus setakat ini.

“Kerajaan kekal bersiap siaga dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik dengan memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi.

“Petunjuk makroekonomi negara kekal kukuh pada suku pertama tahun ini dengan unjuran pertumbuhan oleh BNM antara empat hingga lima peratus,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kadar pengangguran kekal rendah sekitar 2.9 peratus, terbaik dalam tempoh 10 tahun.

“Kerajaan turut mengadakan perbincangan dengan sya­rikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakan BRICS.

“Ini selain langkah tambahan akan diumumkan dalam masa terdekat bagi membantu golongan terkesan termasuk siswazah dan lepasan diploma yang masih menganggur,” ujarnya.

Daripada segi mata wang, ringgit menunjukkan prestasi lebih stabil berbanding beberapa negara Asia, didorong dasar ekonomi serta pengurusan kewangan yang baik.

“Walaupun beberapa sektor terjejas akibat ketegangan global, terdapat sektor baharu mencatat pertumbuhan memberangsangkan seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E) serta pusat data kecerdasan buatan (AI).

“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu lalu, beberapa pelaburan baharu dalam sektor E&E turut diumumkan, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN