BUTTERWORTH : Sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan memborong bahan api didenda sebanyak RM130,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membabitkan kesalahan berkaitan pembelian diesel, tiga tahun lalu.
Hakim Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat terbabit, Lai Yong Keong, 47, mengaku bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapannya menerusi seorang jurubahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat tersebut selaku pemegang lesen borong diesel didakwa telah memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat dalam borang Arahan Mengemukakan Maklumat di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung invois atau resit pembelian minyak diesel melalui sembilan invois berasingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 18 Februari 2023 pada pukul 10.30 pagi di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah di sini.
Atas kesalahan tersebut, syarikat terbabit didakwa mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua sehingga keempat pula, syarikat yang sama didakwa enggan mengemukakan maklumat berkaitan dokumen Penyata Kewangan Bank di bawah nama syarikat tersebut seperti yang diminta oleh pegawai bekalan melalui borang Arahan Mengemukakan Maklumat Barang Kawalan Di Bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan antara tempoh 18 Februari hingga 10 Mac 2023 di lokasi yang sama seperti pertuduhan yang pertama.
Bagi kesemua kesalahan berkenaan, syarikat terbabit didakwa di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi badan korporat, manakala tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kali kedua, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya Darrsini manakala tertuduh atau syarikat berkenaan diwakili oleh peguam, Muhammad Syazwan Mohd Salleh.
Ketika prosiding, Muhammad Syazwan memohon hukuman denda yang minimum diberikan kerana kesalahan tersebut berlaku tanpa pengetahuan anak guamnya sehingga saksi hadir memberi keterangan di mahkamah dan didapati bahawa invois tersebut adalah palsu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan mahu hukuman yang setimpal diberikan supaya boleh dijadikan pengajaran sekali gus sebagai peringatan kepada peniaga lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.-UTUSAN










