Suspek pukul isteri telah berkahwin sembilan kali, sasar penjawat awam

Suspek pukul isteri telah berkahwin sembilan kali, sasar penjawat awam

ADZLI Abu Shah menunjukkan kenderaan dinaiki suspek yang turut dirampas setelah ditahan di sebuah inap desa di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Individu yang diberkas kerana disyaki mencederakan isterinya sehingga patah tulang rusuk, tulang belakang dan keguguran dalam kejadian di Sungai Petani dekat sini, telah berkahwin sebanyak sembilan kali.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 43 tahun itu tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap terutama penjawat awam bagi menumpang kesenangan.

Beliau berkata, suspek dipercayai mempunyai tiga isteri yang masih sah dan 11 orang anak dengan anak sulung berusia lingkungan awal 20-an.

“Pada 17 Jun 2021, suspek telah dituduh di bawah Seksyen 325 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, Johor dan telah dipenjara 10 tahun tetapi dibebaskan sementara dengan jaminan mahkamah kerana menunggu proses rayuan.

“Suspek turut memiliki empat rekod jenayah lain tidak termasuk kes di Johor Bahru itu yang mana kes-kes berkenaan memiliki persamaan iaitu mencederakan isteri-isteri dan teman wanitanya selain menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Adzli berkata, kes di bawah Seksyen 323, 506, 325 dan 318 Kanun Keseksaan telah dituduh di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, Alor Setar pada 3 Ogos 2025.

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan sementara dalam proses perbicaraan.

Beliau berkata, dalam kes terbaharu membabitkan isterinya yang bekerja sebagai jururawat, suspek melarikan diri sejak abang mangsa membuat laporan polis pada 23 April lalu.

“Dia diberkas ketika sedang bersembunyi di sebuah inap desa. Sebuah kereta Mercedes Benz dan empat telefon bimbit turut dirampas, selain polis turut menemui sebatang besi dan penyangkut baju plastik yang dipercayai digunakan bagi mencederakan mangsa.

“Berdasarkan siasatan awal, alasan suspek mencederakan isterinya adalah terlalu remeh seperti lambat mandi apabila disuruh dan beberapa lagi perkara lain yang kita sifatkan sebagai keganasan rumah tangga,” katanya.

Adzli berkata, mangsa dipercayai mula dipukul sejak beberapa bulan lalu termasuk menggunakan kerusi plastik pada 29 Mac dan pernah dipukul dalam kereta pada 2 April yang mana tiada laporan polis dibuat.

Suspek direman tujuh hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN