Anggota tentera Indonesia didakwa dalam serangan asid ke atas aktivis

Anggota tentera Indonesia didakwa dalam serangan asid ke atas aktivis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pendakwa raya tentera mendakwa empat anggota tentera Indonesia atas beberapa tuduhan termasuk serangan terancang berhubung penglibatan mereka dalam serangan asid ke atas seorang aktivis yang lantang mengkritik peranan ketenteraan yang didakwa semakin meluas dalam kerajaan.

Andrie Yunus daripada kumpulan hak asasi KontraS mengalami kecederaan serius apabila dua lelaki menaiki skuter menyimbah asid ke arahnya bulan lalu ketika beliau menunggang motosikal di Jakarta.

Beliau baru sahaja selesai merakam sebuah podcast yang mengkritik apa yang beliau sifatkan sebagai ‘ketenteraan dalam kerajaan Indonesia’ di bawah Presiden, Prabowo Subianto, seorang bekas jeneral.

Andrie, 27, buta pada mata kanannya dan melecur pada 24 peratus tubuhnya termasuk muka, leher, badan dan anggota badan, menurut pendakwa tentera, Mohammad Iswadi.

Keempat-empat lelaki yang ditahan dalam kes ini bekerja untuk Agensi Perisikan Strategik tentera (BAIS) dan ketuanya meletak jawatan selepas insiden itu. Namun, sebab peletakan jawatan tidak pernah didedahkan.

Suspek-suspek iaitu Edi Sudarko, 45; Budi Hariyanto Widhi Cahyono, 43; Nandala Dwi Prasetia, 40; dan Sami Lakka, 41, hadir pada hari pertama perbicaraan di mahkamah tentera pada Rabu dengan berpakaian seragam.

Mereka diwakili oleh peguam yang dilantik tentera.

Peguam bela mereka memberitahu mahkamah, mereka tidak akan mempertikaikan dakwaan, sekali gus membolehkan perbicaraan diteruskan.

Menurut pihak pendakwaan, mereka bertindak atas rasa marah terhadap aktivisme Andrie, dan bukan atas arahan mana-mana pihak.

Andrie dan beberapa pihak lain telah meminta supaya perbicaraan dijalankan di mahkamah awam, bukan mahkamah tentera, kerana bimbang berlakunya cubaan menutup kes di negara yang jarang menghukum serangan terhadap aktivis.

Polis pada awalnya mengenal pasti dua suspek berbeza berdasarkan rakaman CCTV, tetapi mereka tidak pernah didakwa.

Iswadi berkata, suspek Edi meluahkan kemarahan kepada rakan-rakannya berhubung insiden pada 2025, apabila Andrie dan seorang aktivis lain mengganggu mesyuarat ahli Parlimen sebagai protes terhadap pindaan undang-undang tentera Indonesia.

Pindaan undang-undang oleh Parlimen Indonesia tahun lalu membenarkan anggota tentera aktif berkhidmat di 14 kementerian dan institusi kerajaan, meningkat daripada 10 sebelum ini.

Peranan itu diperluaskan termasuk pejabat peguam negara, agensi pengurusan bencana nasional dan agensi anti-keganasan.

Mahkamah Perlembagaan Indonesia kini sedang menilai kesahihan pindaan tersebut.

Iswadi berkata, Edi dan rakan subahatnya merancang serangan itu bersama di kuarters tentera mereka di Jakarta.

Budi didakwa mendapatkan cecair penghilang karat dari bengkel tentera dan mencampurkannya dengan cecair bateri sebelum kumpulan itu keluar menaiki dua motosikal untuk mencari Andrie.

“Para tertuduh merancang untuk menyimbah Andrie Yunus dengan cecair kimia yang diketahui boleh menyebabkan lecur serius,” kata pendakwa raya.

Pertuduhan serangan berat terancang ini membawa hukuman penjara sehingga 12 tahun.

Sesi perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 6 Mei, apabila pihak pendakwaan dijangka memanggil saksi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN