Zoo Taiping digesa bawa pulang DAK kembali ke Malaysia - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Zoo Taiping digesa bawa pulang DAK kembali ke Malaysia – Wan Rosdy

PIHAK Zoo Taiping & Night Safari digesa segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pihak Zoo Taiping & Night Safari digesa segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau mengambil maklum dan mengikuti perkembangan melibatkan tiga gajah terbabit.

“Berdasarkan gesaan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia tentang keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia dan seterusnya ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka.

“Kuala Gandah mempunyai kepakaran dan persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya daripada segi interaksi sosial, ruang pergerakan serta kesejahteraan psikologi haiwan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu itu, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN