Galeri pamer 100 tahun sejarah wakaf diraja Perak - Utusan Malaysia

Galeri pamer 100 tahun sejarah wakaf diraja Perak

RAJA Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah melawat Galeri Wakaf Diraja di pusat bandar Kuala Kangsar, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Menjelang sambutan 500 Tahun Kesultanan Perak pada 2028, bandar Kuala Kangsar diperkasakan lagi dengan pembinaan Galeri Wakaf Diraja bagi mempamerkan sejarah aktiviti wakaf institusi diraja negeri ini.

Galeri itu yang terletak di lot bangunan kedai Jalan Kangsar, menghimpunkan pelbagai artikel, gambar serta perkembangan aktiviti Wakaf Diraja Perak sejak lebih 100 tahun lalu.

Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah hari ini berkenan melawat ruang pameran tersebut yang dinamakan Galeri Wakaf Diraja Sultan Idris Murshid-ul-Adzam Shah.

Baginda berkenan diberikan taklimat menyeluruh mengenai sejarah penubuhan Wakaf Diraja Sultan Idris Murshid-ul-Adzam Shah, termasuk perjalanan panjang institusi ini yang diperundangkan sejak tahun 1917 melalui enakmen khas.

Galeri itu mempamerkan beberapa penerima manfaat terbesar iaitu Madrasah Idrisiah, Masjid Ridzwaniah dan Makam Diraja Al-Ghufran, selain aset-aset komersial di Kuala Kangsar yang menjadi sumber kewangan untuk membiayai faedah masyarakat.

Sementara itu, Pengurus Besar Wakaf Diraja Sultan Idris Murshid-ul-Adzam Shah, Raja Hazwan Shah Raja Danil Akhsan berkata, galeri tersebut dibuka kepada tanpa bayaran masuk.

“Galeri ini kita fokuskan untuk orang ramai datang dan melihat sejarah perjalanan wakaf ini dan bagaimana aktiviti ini masih bertahan.

“Misalnya Madrasah Idrisiah sendiri telah melahirkan ramai ulama tersohor. Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan merupakan alumni sekolah ini,” katanya.

Menurut beliau, galeri turut mempamerkan maklumat kepada pengunjung mengenai bagaimana mereka boleh berwakaf secara tunai berbanding kebiasaan iaitu menerusi tanah dan bangunan.

Raja Hazwan Shah berkata, Lembaga Muzium Negeri Perak memainkan peranan penting bagi mendokumentasikan, memelihara serta memartabatkan sejarah yang terkandung dalam institusi wakaf tersebut.

“Usaha ini memastikan bahawa sejarah tidak sekadar disimpan, tetapi difahami, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Tourism Perak Management Berhad pula telah membantu mengangkat Wakaf Diraja ini sekali gus membuka ruang kepada masyarakat luar dalam konteks pelancongan warisan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN