PETALING JAYA: Median upah bulanan pekerja sektor formal meningkat kepada RM3,167 pada Disember 2025, naik 4.0 peratus berbanding RM3,045 pada Disember 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd.Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu sejajar dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil, dengan bilangan pekerja formal warganegara meningkat 3.6 peratus kepada 7.08 juta orang pada Disember 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Median upah bulanan turut mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.3 peratus pada Oktober dan November, serta 4.0 peratus pada Disember 2025.
“Dari segi jantina, pekerja formal lelaki yang merangkumi 55.1 peratus atau 3.90 juta orang daripada keseluruhan tenaga kerja formal menerima median upah lebih tinggi berbanding pekerja perempuan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, median upah bulanan pekerja lelaki adalah RM3,167, manakala pekerja perempuan yang merangkumi 44.9 peratus atau 3.18 juta orang memperoleh RM3,120.
“Pekerja berumur 45 hingga 49 tahun terus merekodkan median upah tertinggi sepanjang suku keempat 2025, dengan RM4,245 pada Disember selepas RM3,827 (Oktober) dan RM3,845 (November).
“Semua kumpulan umur mencatatkan peningkatan median upah secara tahunan, dengan pertumbuhan tertinggi direkodkan dalam kalangan pekerja bawah 20 tahun, meningkat 11.3 peratus kepada RM1,700 pada Disember 2025,” katanya.
Dari segi sektor ekonomi, beliau berkata, semua aktiviti mencatatkan peningkatan median upah dalam tempoh sama.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan median tertinggi sebanyak RM7,900 pada Disember 2025, walaupun hanya menyumbang 0.5 peratus kepada keseluruhan pekerjaan formal.
“Sebaliknya, sektor pertanian mencatatkan median terendah pada RM2,564, meskipun meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun.
“Dari segi negeri, tiga negeri mencatatkan median upah melebihi paras nasional RM3,167 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4,391), diikuti Pulau Pinang (RM3,500) dan Selangor (RM3,400).
“Sementara itu, Kelantan, Perlis dan Sabah merekodkan median upah terendah masing-masing RM1,800, RM1,864 dan RM2,045,” jelasnya
Tambahnya, 8.4 peratus pekerja formal warganegara menerima upah bulanan bawah RM1,700 pada Disember 2025, berkurang 12.5 mata peratus berbanding setahun lalu.
“Analisis persentil pula menunjukkan 10 peratus pekerja formal berpendapatan terendah menerima RM1,700 atau kurang sebulan, manakala kumpulan persentil ke-90 memperoleh sekurang-kurangnya RM11,122.
“Perbezaan ini menunjukkan kumpulan berpendapatan tertinggi menerima lebih enam kali ganda berbanding kumpulan terendah, sekali gus mencerminkan jurang upah yang masih ketara dalam pasaran buruh negara,” jelasnya. – UTUSAN










