Skuad Lacrosse negara lakar sejarah, raih gangsa Asia 2026

Skuad Lacrosse negara lakar sejarah, raih gangsa Asia 2026

Lebih manis, kejayaan itu hadir ketika lacrosse kini berada di landasan untuk penampilan sulung di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menerusi format baharu, Sixes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad lacrosse lelaki negara mencipta detik bersejarah apabila meraih pingat gangsa pada Sukan Lacrosse Asia 2026 di Chengdu, China, sekali gus pencapaian terbaik Malaysia di pentas benua itu.

Kejayaan manis tersebut hadir selepas Malaysia menundukkan Arab Saudi 15-10 dalam aksi penentuan tempat ketiga, Jumaat lalu, sekali gus mengesahkan kebangkitan sukan yang semakin mendapat tempat di negara ini.

Kapten pasukan, Rashid Shukor menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil pengorbanan kolektif seluruh warga lacrosse negara.

“Kami datang dengan skuad paling kecil, tetapi pulang dengan pingat gangsa. Ini milik semua yang pernah menyumbang kepada pembangunan lacrosse Malaysia. Hari ini kami buktikan sesuatu,” katanya penuh bangga.

Lebih manis, kejayaan itu hadir ketika lacrosse kini berada di landasan untuk penampilan sulung di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menerusi format baharu, Sixes.

Ketua jurulatih, Michael Wilder pula memuji disiplin serta ketenangan anak buahnya dalam melaksanakan perancangan taktikal.

“Pemain melaksanakan pelan permainan dengan cemerlang walaupun berada di bawah tekanan. Ini momentum terbaik menjelang misi ke Los Angeles 2028 dan kami akan terus memperkukuh pasukan,” katanya.

Presiden Persatuan Lacrosse Malaysia, Jake Iskandar Marr turut mengakui perjalanan sukan itu bukan mudah sejak diperkenalkan di negara ini.

“Daripada sukan yang hampir tidak dikenali, kini kita berdiri di podium Asia. Saya bangga dengan komitmen atlet, jurulatih dan sukarelawan yang membina asas ini,” ujarnya.

Pingat gangsa ini bukan noktah, sebaliknya menjadi asas kukuh buat skuad negara memburu tiket ke Olimpik.

Cabaran seterusnya menanti di Kejohanan Lacrosse Sixes Asia-Pasifik di Sunshine Coast, Australia pada Oktober ini, yang dilihat sebagai medan penting dalam laluan kelayakan ke Los Angeles 2028.

Kini, impian untuk melihat Jalur Gemilang berkibar dalam acara lacrosse di pentas Olimpik bukan lagi angan-angan. Ia semakin hampir menjadi realiti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN