PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa pematuhan penuh dan tegas terhadap Perlembagaan Persekutuan serta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Suhakam berkata, pihaknya mengambil maklum pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu serta kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa satu senarai calon telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesahan perlembagaan proses berkenaan dan menekankan kepentingan agar pelantikan dilaksanakan dengan ketat selaras dengan Perlembagaan serta kerangka undang-undang berkaitan.
“Perdana Menteri memikul tanggungjawab perlembagaan untuk menasihati pelantikan tersebut dan perlu melaksanakannya dengan tegas, jelas serta mematuhi undang-undang.
“Pelaksanaan tanggungjawab itu penting bagi memelihara tertib perlembagaan dan mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi negara.
“Suhakam ingin menegaskan bahawa Malaysia ialah negara Raja Berperlembagaan yang berasaskan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhakam berkata, Yang di-Pertuan Agong bertindak selaras dengan Perlembagaan termasuk prinsip bahawa Baginda hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, kecuali dalam keadaan terhad yang ditetapkan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009 memperuntukkan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan apabila dibaca bersama Perkara 40, kuasa pelantikan adalah terletak kepada Perdana Menteri,” katanya.
Menurut Suhakam, peranan Yang di-Pertuan Agong dalam proses pelantikan adalah bersifat formal atau istiadat dan Baginda hendaklah menerima nasihat Perdana Menteri dalam pelantikan tersebut.
Bagaimanapun, Baginda tidak terhalang daripada memberikan pandangan atau mendapatkan maklumat lanjut, namun nasihat Perdana Menteri adalah muktamad, katanya.
Katanya, sebarang penyimpangan daripada kerangka perlembagaan tersebut adalah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan sistem demokrasi negara.
“Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara perlu dipatuhi semua institusi termasuk institusi diraja dalam had peranan masing-masing.
“Suhakam menegaskan kebebasan dan kredibiliti SPRM bergantung bukan sahaja kepada individu yang dilantik, tetapi juga kepada integriti serta kesahan proses pelantikan itu sendiri,” katanya. – UTUSAN










