Kerajaan akan teliti dapatan laporan Suhakam minggu hadapan

Kerajaan akan teliti dapatan laporan Suhakam minggu hadapan

FAHMI Fadzil ketika ditemui pemberita pada Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai 2026 di Jalan Pantai Permai di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasil inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung rusuhan di Penjara Taiping yang mengorbankan seorang tahanan dijangka diteliti dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat oleh kerajaan.

Katanya, perkara itu belum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sama ada minggu lalu mahupun minggu ini.

“Lazimnya, laporan tahunan berkaitan Suhakam akan dibentangkan serta dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen sebelum tindakan lanjut diputuskan kerajaan.

“Kerajaan akan meneliti sama ada hasil inkuiri tersebut perlu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri akan datang untuk pertimbangan lanjut.

“Selain itu, pihak berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia boleh dirujuk bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Korban Perdana Lembah Pantai 2026 di Pustaka KL, Lembah Pantai, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Penjara mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping, Perak pada 17 Januari tahun lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal dunia.

Insiden berkenaan membabitkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping.

Difahamkan lebih 100 banduan yang majoritinya dipindahkan dari Batu Gajah dipukul sehingga menyebabkan kematian Chin Eng, 61, dan kejadian dikatakan berpunca apabila seorang tahanan meminta seorang warden penjara untuk dipindahkan ke tempat lain.

Susulan itu, seorang pegawai penjara yang bertugas di Pusat Koreksional Taiping dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Taiping pada Disember tahun lalu kerana menyebabkan kematian tahanan berkenaan

Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkaitan bagi meneliti laporan dan rumusan panel siasatan awam oleh Suhakam berhubung insiden provokasi prospek yang berlaku di Penjara Taiping, tahun lepas.

Jabatan berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius setiap dapatan, syor dan perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan termasuk dakwaan yang mengaitkan aspek pengurusan dan petugas penjara dalam kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN