PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memastikan setiap dana yang diseleweng dapat dijejaki dan dikembalikan kepada negara.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menegaskan, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara.
Beliau berkata, untuk itu, SPRM akan terus memperkukuhkan kerjasama antarabangsa serta menggunakan segala saluran perundangan yang ada bagi memastikan aset yang disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan dan dilucut hak.
“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara.
“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Semalam, SPRM memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan wang berjumlah kira-kira AS$1.7 juta atau RM6.7 juta yang disimpan dalam dua akaun perbankan di Barbados, dipercayai berkaitan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid semalam selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Mahkamah berpuas hati bahawa dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram hasil siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM.
Satu sumber berkata, beberapa individu termasuk pemegang akaun bank serta pengarah syarikat luar negara disyaki terlibat dalam aktiviti menerima, menyembunyikan, memindah dan mengubah wang hasil aktiviti haram melalui akaun syarikat di Barbados.
Kata sumber, siasatan mendapati kegiatan itu dilakukan antara tahun 2014 hingga 2019.
“Susulan itu, mahkamah membenarkan perintah larangan transaksi kewangan melibatkan AS$56,285.88 dalam akaun milik Lambasa Global Opportunity Fund BV serta AS$1,649,118.40 dalam akaun milik Universal Ventures Fund SCC.
“Perintah larangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SPRM untuk mengesan, membeku dan melucut hak wang serta aset yang diperoleh daripada aktiviti pengubahan wang haram, termasuk yang melibatkan dana di luar negara,”katanya.-UTUSAN










