PETALING JAYA: Budaya saling menghormati perlu terus menjadi pegangan rakyat Malaysia kerana ia merupakan antara asas penting dalam mengekalkan keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, adab serta nilai hormat-menghormati perlu sentiasa dipelihara dalam kehidupan bermasyarakat sama ada ketika berada di dalam mahupun di luar negara.
“Aspek tersebut sentiasa diberi perhatian memandangkan ia memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Baginda turut mengingatkan umat Islam di negara ini mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
Pada Februari lalu, Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni serta beramah mesra dengan lebih 100 pelancong dari pelbagai negara di pintu masuk utama Istana Negara.
Peristiwa itu mencerminkan sifat mesra dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap rakyat serta pelancong yang berkunjung ke negara ini.-UTUSAN










