BEIRUT: Lubnan melaporkan 18 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan negara itu, manakala tentera Israel mengesahkan empat anggotanya terbunuh di kawasan berkenaan sejak termeterainya perjanjian Amerika Syarikat (AS)-Iran untuk menghentikan perang di Asia Barat.
Israel melancarkan serangan terhadap sasaran Hizbollah sepanjang malam hingga ke pagi, sementara kumpulan bersenjata yang disokong Iran itu memaklumkan mereka menyerang pasukan Israel di sekitar bandar Nabatieh di selatan Lubnan.
“Kejadian serangan udara Israel yang intensif dari tengah malam hingga pagi ini telah menghalang usaha membawa keluar mayat dan mangsa yang cedera, serta mengakibatkan angka awal 18 syahid dan 33 cedera di sekurang-kurangnya 10 kampung dan bandar,” menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Serangan itu merupakan yang paling maut sejak Iran dan AS bersetuju menghentikan perang yang lebih meluas di Asia Barat pada Isnin lalu.
Sementara itu, tentera Israel berkata, Leftenan Kolonel Dor Gedalia Ben Simhon terbunuh dalam pertempuran bersama tiga lagi anggota tentera yang identitinya belum didedahkan.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel memaklumkan seorang pegawai simpanan cedera parah akibat serangan dron berisi bahan letupan di selatan Lubnan, manakala empat lagi anggota tentera mengalami kecederaan ringan dalam insiden sama.
Kematian anggota tentera itu mencetuskan reaksi keras daripada Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir.
“Dengan segala hormat kepada pihak AS, Israel mesti menjelaskan kepada seluruh dunia bahawa darah anak-anak kami dan keselamatan rakyat kami tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar. Seluruh Lubnan mesti dibakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Pegawai AS termasuk Presiden, Donald Trump sebelum ini menyuarakan kekecewaan terhadap kempen ketenteraan Israel di Lubnan yang diteruskan meskipun Washington sedang berunding dengan Iran, selain kewujudan gencatan senjata berasingan yang dipersetujui pada April bagi menghentikan pertempuran di negara itu.
Tentera Israel dalam kenyataan terdahulu berkata, serangan yang dilancarkan adalah sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata berulang oleh Hizbollah.
“Sepanjang malam, tentera menyerang dan terus menyerang anggota serta infrastruktur Hizbollah di beberapa kawasan di selatan Lubnan,” menurut kenyataan itu.
Hizbollah pula berkata awal Jumaat bahawa mereka menyasarkan tentera Israel dengan bedilan roket dan mortar berhampiran Bukit Ali al-Taher, kawasan strategik yang menghadap bandar Nabatieh.
Kumpulan itu turut mendakwa menyerang kereta kebal Israel selepas pasukan yang terdiri daripada satu platun berperisai dan satu platun infantri cuba mara ke bahagian utara Bukit Ali al-Taher.
Permusuhan antara kedua-dua pihak berterusan walaupun selepas perjanjian AS-Iran dimeterai.
Pada Khamis, Hizbollah berkata, pasukannya bertempur dengan tentera Israel yang cuba mara dari bandar Arnoun ke pinggir Kfar Tibnit, juga berhampiran Nabatieh.
Sementara itu, Perancis pada Jumaat menggesa Israel supaya menghormati perjanjian yang ditandatangani antara AS dan Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat.
“Perjanjian ini memperuntukkan penamatan permusuhan. Kerajaan Israel mesti menghormatinya dan AS khususnya perlu menggunakan segala tekanan yang perlu terhadap kerajaan Israel bagi memastikan perkara itu dipatuhi,” kata Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot kepada stesen radio FranceInfo.-AFP










