MBPJ sedia 2,321 petak parkir sempena Festival Ulang Tahun Bandaraya PJ ke-20

MBPJ sedia 2,321 petak parkir sempena Festival Ulang Tahun Bandaraya PJ ke-20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan 2,321 petak parkir di sekitar Pusat Bandar Seksyen 52 bagi memudahkan pengunjung menghadiri Festival Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-20 dari 16 hingga 21 Jun ini.

Menurut kenyataan MBPJ, kemudahan parkir itu bertujuan memastikan kelancaran pergerakan serta keselesaan pengunjung yang dijangka hadir memeriahkan pelbagai program sepanjang festival berkenaan.

“Kemudahan ini adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif mesra rakyat dan tanda penghargaan kepada warga bandar raya itu.

“Sebanyak 735 petak parkir disediakan di kawasan parkir tepi jalan sekitar Pusat Bandar Seksyen 52, 100 petak di Bangunan Persekutuan dan 284 petak di Kompleks C.

“Turut disediakan ialah 422 petak di Kompleks A, 200 petak di Menara Choy Fook On, 400 petak di Bangunan PKNS, 100 petak di Taman Jaya serta 80 petak di Sungai Jernih,” katanya.

MBPJ berkata, penyediaan kemudahan parkir yang mencukupi merupakan antara usaha pihak berkuasa tempatan itu bagi memastikan pengalaman terbaik kepada pengunjung sepanjang festival berlangsung.

“Sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya ini bukan sekadar meraikan dua dekad status Petaling Jaya sebagai bandar raya, malah menjadi penghargaan kepada seluruh warga yang telah menyumbang kepada pembangunan kawasan tersebut.

“Penyediaan 2,321 petak tempat letak kereta ini adalah sebahagian daripada komitmen MBPJ dalam memastikan kemudahan dan keselesaan pengunjung agar mereka dapat menikmati pelbagai program yang dirancang dengan lebih lancar dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, festival Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-20 turut menjadi simbolik kepada perjalanan transformasi Petaling Jaya sejak diisytiharkan sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006.

“Festival ini menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat ke arah bandar raya yang lebih mampan, pintar dan berdaya tahan.

“MBPJ menjemput seluruh warga Petaling Jaya serta masyarakat umum untuk hadir memeriahkan sambutan bersejarah tersebut dan memanfaatkan pelbagai program serta perkhidmatan yang disediakan sepanjang festival berlangsung.

“Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun ini di Laman MBPJ dengan pelbagai pengisian menarik termasuk perarakan komuniti, persembahan kebudayaan dan konsert artis popular tanah air,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN