Klinik Kesihatan Bakun-Murum tawar akses kesihatan kepada 13,000 rakyat

Klinik Kesihatan Bakun-Murum tawar akses kesihatan kepada 13,000 rakyat

DZULKEFLY Ahmad menyaksikan MoU antara KKM dengan Sarawak Energy Berhad pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murum. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murum yang menelan kos RM5 juta dijangka memberi manfaat dan akses perkhidmatan kesihatan kepada lebih 13,000 penduduk.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembinaan klinik menerusi inisiatif awam swasta antara KKM dan Sarawak Energy Bhd (SEB) itu akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

Beliau berkata, apabila siap kelak, ia akan kemudahan kesihatan kepada 12,992 penduduk di 102 penempatan sekitar Bakun dan Murum.

“Pembinaan klinik itu dilaksana menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEB membabitkan blok utama klinik, empat unit kuarters dan blok sokongan atas tanah seluas 10.41 ekar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murum di sini hari ini.

Katanya, pihaknya menjangkakan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun dan bertekad memastikan ia diserahkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Dr Dzulkefly berkata, klinik baharu itu akan dibina sebagai Klinik Kesihatan Jenis 6 atau Jenis 7 bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan Murum, Bakun dan Belaga.

“Pembinaan fasiliti itu amat penting memandangkan penduduk di kawasan berkenaan sebelum ini bergantung kepada kemudahan sementara yang ditempatkan di bangunan milik SEB sejak lebih 12 tahun lalu.

“Klinik baharu itu dijangka menyediakan perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta pelbagai perkhidmatan kesihatan asas kepada komuniti setempat,” katanya.

Mengulas mengenai tenaga kerja di klinik itu, beliau berkata, penempatan kakitangan termasuk pegawai perubatan, jururawat serta pembantu perubatan akan ditentukan lebih terperinci apabila projek berkenaan hampir siap.

“Jika dapat dibekalkan dua doktor, ia amat baik kerana fasiliti ini akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak serta penjagaan kesihatan komuniti,” katanya.

Mengulas mengenai kemudahan ambulans, Dr Dzulkefly berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berdasarkan keperluan operasi dan pengagihan aset sedia ada.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN