Sky Iskandar bangga sebaris bintang aksi dunia dalam Hunter 11: The Awaken - Utusan Malaysia

Sky Iskandar bangga sebaris bintang aksi dunia dalam Hunter 11: The Awaken

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelakon, Sky Iskandar menyifatkan peluang membintangi filem berskala besar, Hunter 11: The Awaken, sebagai satu penghormatan besar apabila dapat berdiri sebaris dengan nama-nama besar dalam industri filem aksi antarabangsa.

Sky yang membawakan watak utama sebagai Noah berkata, dia tidak menyangka akan digandingkan dengan jaguh silat tersohor Indonesia, Yayan Ruhian serta pakar seni bela diri Shaolin dari China, Shi Yanneng.

“Saya rasa sangat kerdil apabila berada di set yang sama dengan mereka. Ini adalah nama-nama besar yang mempunyai pengalaman dan kemahiran luar biasa.

“Saya banyak bertanya kepada Kang Yayan (panggilan kepada Yayan Ruhian) mengenai pengalamannya di peringkat global kerana kita tahu beliau sudah membintangi banyak filem Hollywood.

“Apa yang membuatkan saya kagum adalah sikap rendah diri dan keikhlasan yang mereka tunjukkan walaupun sudah bergelar bintang dunia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis sidang media Hunter 11: The Awaken di Studio Iskandar Malaysia, baru-baru ini.

Dipilih sebagai pelakon utama oleh pengarah Frank See, Sky mengakui cabaran membawakan watak ejen perisik yang mahir bertempur dan menggunakan senjata bukan sesuatu yang mudah.

“Noah ialah bekas perisik tentera yang terpaksa memalsukan kematiannya sendiri selepas kehilangan isteri dan anak dalam satu operasi. Dia hidup dengan trauma dan bergerak secara ‘halimunan’ untuk meneruskan siasatannya.

“Berbeza dengan pelakon lain yang lebih fokus kepada seni mempertahankan diri, watak saya lebih kepada aspek taktikal. Ini juga kali pertama saya menggunakan senjata api dengan peluru kosong (blank) di set penggambaran. Bunyi letupannya sangat kuat dan memberi impak yang sangat realistik,” jelasnya.

Bagi memastikan wataknya meyakinkan, Sky turut meluangkan masa menjalani latihan intensif termasuk menggunakan jaket pemberat (weight vest) bagi membina stamina.

Dalam pada itu, Sky turut berkongsi pengalaman mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan kecil ketika dalam perjalanan pulang dari lokasi penggambaran.

“Ia hanyalah kemalangan kecil melibatkan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari penggambaran. Syukurlah ia tidak menjejaskan jadual kerja, cuma kaki saya sedikit terseliuh dan terhincut-hincut buat seketika,” katanya.

Hunter 11: The Awaken merupakan filem bernilai RM20 juta yang mengisahkan siasatan pihak perisikan tentera terhadap kehilangan misteri beberapa anggota elit operasi khas.

Penggambaran kini menghampiri fasa akhir dengan babak awal dirakam di Pulau Langkawi, manakala adegan aksi utama dijalankan di Kuala Lumpur serta Johor.

Filem itu akan diedarkan secara rasmi oleh GSC Movies dan dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara pada suku pertama 2027. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN